Isnin, 4 Januari 2016

Hanya individu bersalah disenarai bawah 'Name and shame'


 
 SPRM
SPRM
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini  menyatakan ‎hanya individu yang sudah didapati bersalah disenaraikan dalam pangkalan data 'Name and shame' suruhanjaya itu.

"SPRM ingin menjelaskan bahawa hanya individu yang didapati bersalah oleh mahkamah akan dimasukkan dalam senarai tersebut," menurut SPRM dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang meminta SPRM memasukkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pangkalan data tersebut.

Namun menurut SPRM, pangkalan data 'Name and shame'  itu diwujudkan hanya untuk menyenaraikan nama mereka yang telah didapati bersalah dalam kes rasuah, bukannya mereka yang sedang disiasat.

Data kesalahan pesalah rasuah (Name and shame) boleh dilihat di portal SPRM di www.sprm.gov.my.

Senarai ini adalah mereka yang telah didapati bersalah oleh pihak mahkamah atas kesalahan di bawah Akta SPRM.

Selain dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Najib turut dikaitkan dengan skandal dana politik berjumlah RM2.6 bilion yang turut disiasat suruhanjaya itu.


Tiada ulasan: