Selasa, 12 Januari 2016

Fomca: Terimalah realiti kos hidup makin tinggi

Sajad Hussein, Bernama  







Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini menggesa pengguna supaya menerima realiti kos sara hidup yang lebih tinggi dengan menggunakan sepenuhnya 'kuasa beli' mereka.

"Pengguna sepatutnya tidak memandang rendah kuasa yang ada, mereka boleh sama ada memajukan atau meruntuhkan peniaga dan masyarakat perniagaan," kata Timbalan Presiden Mohd Yusof Abdul Rahman.

Beliau memberitahu Bernama bahawa pengguna yang juga pekerja, boleh bersatu dalam kesatuan masing-masing dan mengatur belian pukal bagi mendapatkan potongan harga dan mengekalkan kestabilan harga.

Beliau bersetuju dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bahawa pekerja perlu berjimat-cermat dalam menghadapi situasi sekarang.

Dalam satu kenyataan baru-baru ini, NUBE mencadangkan perkongsian kereta diamalkan bagi mengurangkan kos pengangkutan, selain meminimumkan perjalanan percutian, sebagai langkah penjimatan.

Beliau berpendapat pengguna tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan atau kemurahan hati majikan dalam mengharungi masalah harian mereka.

Yusuf berkata Fomca bersedia bekerjasama, bukan sahaja dengan organisasi pekerja malah untuk keseluruhan entiti berasaskan komuniti, bagi membantu meringankan kos sara hidup.- Bernama


Tiada ulasan: