Rabu, 6 Januari 2016

DPMM bimbang TPPA seperti Perjanjian Pangkor, buat rakyat sengsara



Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Datuk Dr Syed Ali Alattas berkata Putrajaya harus menumpukan perdagangan dengan negara Asean dan bukan dengan negara maju di bawah TPPA. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin, 6 Januari, 2016. 
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Datuk Dr Syed Ali Alattas berkata Putrajaya harus menumpukan perdagangan dengan negara Asean dan bukan dengan negara maju di bawah TPPA. – Gambar The Malaysian Insider oleh Kamal Ariffin. 
 
 
Putrajaya perlu memikirkan kesan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ke atas kemerdekaan negara kerana dikhuatiri sejarah lama penjajahan British akan berulang lagi, kata Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Presidennya Datuk Dr Syed Ali Alattas mendakwa, disebabkan Perjanjian Pangkor pada 1874, Malaysia masih sengsara sehingga hari ini, apatah lagi dengan TPPA yang lebih banyak kandungan perjanjiannya.

"Perjanjian Pangkor 12 muka surat, kita huru-hara sampai sekarang. Sekarang kita ada 6,000 muka surat," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di ibu negara hari ini.

Bagaimanapun, Syed Ali berkata pihaknya tidak dapat menghalang Putrajaya menandatangani TPPA. "Kita jaga peniaga kita, dan tugas makin susahlah, makin berat," katanya.

Sehubungan itu, DPMM berkata pihaknya akan menghantar memorandum susulan sesi meja bulat anjurannya hari ini kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkenaan pandangan mereka.

Memorandum itu akan dihantar DPMM sebelum sidang khas Parlimen berkenaan TPPA yang dijadualkan bulan depan.

Syed Ali berkata, DPMM tidak menghalang perjanjian perdagangan itu ditandatangani, sebaliknya hanya "menyuarakan" kebimbangan mereka terhadap kedaulatan dan kemerdekaan negara.

"Kelapa sawit industri penting kita sampai sekarang pun tak boleh masuk Amerika Syarikat," katanya memberi contoh perdagangan yang disekat di negara barat.

Sehubungan itu, beliau menyeru Putrajaya mengutamakan dagangan dengan negara Asean berbanding TPPA.

"Kita tidak boleh bersaing dengan Eropah. Kita hanya kapasiti kecil. Perahu hendak lawan kapal, belum sampai masanya, bukan kita tidak mahu tandatangan," katanya.

Katanya, DPMM tidak membantah, cuma memberi peringatan kerana negara dan rakyatnya dibimbangi akan terjejas akibat TPPA.

"Pada masa akan datang, kita jangan lupa, apabila rakyat bergantung kepada kerajaan. Majoriti rakyat kita harapkan kerajaan. Jadi, kalau kerajaan susah esok, jangan marah rakyat," katanya


Tiada ulasan: