Rabu, 27 Januari 2016

Dewan Rakyat lulus usul meterai TPPA

 
Sejumlah 127 ahli Parlimen mengundi agar Malaysia menandatangani perjanjian tersebut, manakala 84 menolak.


Pandikar_tppa_600


KUALA LUMPUR: Malaysia kini tinggal selangkah sahaja lagi untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ia selepas pengumuman Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebentar tadi bahawa majoriti ahli Parlimen menyokong perjanjian tersebut, selepas debat sepanjang dua hari.

Sejumlah 127 ahli Parlimen mengundi agar Malaysia menandatangani perjanjian tersebut, manakala 84 menolak. Adalah difahamkan bahawa 11 wakil rakyat tidak melibatkan diri dalam pengundian ini.

“Maka dengan yang demikian, usul Yang Berhormat Menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) adalah dipersetujui,” umum Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, seusai pengundian yang bermula jam 7.10 malam.

Hakikatnya Dewan Rakyat dijangka meluluskan usul tersebut di sebalik debat hangat dan perhimpunan aman menentangnya. Ini kerana ahli Parlimen BN lebih ramai berbanding ahli Parlimen pembangkang.

Undi sebulat suara pembangkang menolak TPPA hari ini juga menyangkal tuduhan Abdul Hadi bahawa DAP menyokong perjanjian tersebut kerana ekonomi didominasi peniaga Cina.

Sebelum itu, ahli Parlimen dari kedua-dua pihak membahaskan kebaikan dan keburukan TPPA.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal menggesa kerajaan agar meneliti perjanjian itu secara terperinci, manakala Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming dari DAP mencadangkan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen untuk memantau pelaksanaannya nanti.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya Wong Chen dari PKR pula menyifatkan Amerika Syarikat terkenal sebagai negara yang suka memfailkan saman.

Maka beliau mengingatkan yang negara berisiko disaman syarikat dari negara itu, selain mengeruhkan hubungan dengan China, jika meneruskan niat menyertai TPPA.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam menafikan dakwaan TPPA akan meningkatkan harga ubat-ubatan, sementara Menteri Undang-undang Nancy Shukri menggesa semua ahli Parlimen tidak menganggap kerajaan cuba menjual negara kepada Amerika Syarikat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang membentangkan usul itu berkata, Malaysia bakal kehilangan pelabur jika tidak menyertai perjanjian itu.

TPPA adalah perjanjian perdagangan bebas dan sebahagian daripada Perkongsian Strategik Ekonomik Trans-Pasifik yang melibatkan Amerika Syarikat, Malaysia dan sepuluh negara lain.

Tiada ulasan: