Rabu, 6 Januari 2016

Cabar lapor SPRM hanya perangkap Azmin, kata Chegubard

 
Menurut Chegubard, pemberian projek tanpa tender terbuka bukan isu rasuah, tetapi bertentangan dengan janji ketelusan kerajaan Pakatan Rakyat.


sprm


SEREMBAN: Badrul Hisham Shaharin menegaskan beliau tidak akan masuk perangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya merujuk dakwaan tender balak negeri itu ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan berkenaan hanya membuatkan dua dokumen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terus menjadi rahsia daripada pengetahuan umum, kata pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu.

“Adakah tujuan Azmin memancing saya ke SPRM dan menyerahkan dokumen itu sebagai perangkap mengunci dokumen tersebut mengikut Akta SPRM, yang mana melarang penerbitan semula laporan atau bukti yang diserahkan?” tanyanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, isu pemberian projek tanpa tender terbuka bukanlah kesalahan mengikut Akta SPRM, tetapi bertentangan dengan janji ketelusan kerajaan Pakatan Rakyat.

“Pihak berkuasa negeri memang berhak memberikan hak mengeluarkan hasil hutan dengan cara yang difikirkan sesuai. Tetapi ini (pemberian tanpa tender terbuka) bertentangan dengan janji ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Isunya ialah dia kata tender terbuka tetapi ternyata tidak. Ia bukan kes SPRM,” tegas ahli seumur hidup PKR itu.

Semalam, Azmin menggesa Chegubard agar berhenti ‘menyalak’ dan merujuk dakwaannya bahawa dua projek pembalakan negeri tidak dijalankan secara tender terbuka kepada SPRM.

Tiada ulasan: