Isnin, 4 Januari 2016

Bung Mokhtar pertahan Mahathir, Anwar

 
Kedua-dua pemimpin itu tidak harus dipersalahkan sepenuhnya, susulan kenaikan kos sara hidup pada hari ini kerana melakukan 'perjanjian tanpa sengaja' dengan syarikat konsesi.


Bung-Mokhtar


PETALING JAYA: Pemimpin negara terdahulu tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya susulan peningkatan kos sara hidup terutamanya melibatkan kenaikan kadar tambang Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan tol.

Perkara itu ditegaskan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Bung Mokhtar Radin apabila ramai pihak menyalahkan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menandatangani perjanjian dengan syarikat konsensi dan kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa menanggungnya.

Katanya, kedua-dua pemimpin tersebut mungkin tidak berniat untuk melihat rakyat susah, namun ia perlu dijadikan pengajaran oleh pemimpin ketika ini sebelum menandatangani perjanjian dengan mana-mana syarikat konsensi pada masa akan datang.

“Saya juga tidak menyalahkan kedua-dua pemimpin ini (Anwar dan Mahathir) kerana mungkin mereka pun tidak berhasrat untuk melihat rakyat susah, tetapi ini merupakan satu pengajaran kepada mana-mana pemimpin dalam negara kita sekiranya membuat apa-apa perjanjian.

“Sekiranya membuat apa-apa perjanjian pembangunan untuk rakyat dan negara maka harus diteliti implikasi bukan sahaja hari itu tetapi pada masa-masa akan datang agar rakyat tidak dibebani kos sara hidup yang berat,” katanya kepada FMT.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, kepemimpinan Najib juga tidak boleh dipersalahkan susulan kenaikkan kos sara hidup kerana ia berpunca daripada perjanjian tanpa sengaja pemimpin terdahulu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata, kenaikan kos sara hidup terutamanya melibatkan tambang ERL dan kadar tol merupakan kesan daripada ‘najis’ yang ditinggalkan pemimpin sebelum ini.

Tiada ulasan: