Sabtu, 23 Januari 2016

Apa rasionalnya gantung biasiswa JPA untuk jimatkan belanja negara?

 
Ia hanya akan mematikan semangat anak-anak yang berazam mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.



jpa



Heboh di media-media sosial mahupun tempatan apabila kerajaan membuat pengumuman mahu menggantung peruntukan pemberian biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dan program pra-universiti.

Entah apa sebabnya, pengumuman yang didakwa dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong mengenai perkara itu memang tidak boleh diterima akal.

Alasan yang diberikan dengan mengatakan kerajaan mahu melakukan penjimatan adalah sesuatu yang tidak kukuh sebaliknya, ia hanya akan mematikan semangat anak-anak yang berazam mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Hari ini, menerusi laporan sebuah akhbar tempatan, menteri itu pula dibidas oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) apabila menyatakan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak menerima sebarang arahan untuk menggantung mana-mana skim di bawah tajaan jabatan itu.

Menurut GPMS, jika benar dakwaan JPA itu, ini bermakna Ka Siong telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan arahan bosnya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta agar Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Ali Hamsa mengemukakan cadangan kepada Ketua Pengarah JPA supaya melakukan satu mekanisme baharu dalam pemberian biasiswa agar lebih efisien dan optimum, berbanding kaedah sekarang.

Sama ada Ka Siong faham dengan arahan itu atau tidak, yang pastinya beliau telah membuat para ibu bapa menjadi resah dan tidak kurang juga yang marah-marah apabila mengetahui tentang perkara itu.

Untuk meredakan keadaan, Ka Siong dilapor menafikan pula kenyataan yang didakwa diumumkannya itu apabila beliau memberitahu kepada pemberita di Wisma MCA semalam.

Beliau juga mengulangi bahawa sekarang, hanya mereka yang menerima bursari pra-universiti sahaja yang terjejas.

Mengulas mengenai perkara itu, di sini penulis ingin mengajak pembaca menyelami hati para ibu bapa dan juga pelajar yang sememangnya mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan demi kelangsungan masa depan mereka.

Golongan yang paling merasakan keperitannya adalah mereka yang tinggal di kampung-kampung dengan hanya mendapatkan hasil daripada sumber tanah yang tidak menentu pendapatannya.

Impian mereka terlalu tinggi mahu melihat kejayaan anak-anak suatu hari nanti supaya tidak menerima nasib seperti mereka, selain berharap agar anak-anak mereka dapat mengubah kehidupan keluarga apabila sudah berjaya kelak.

Keadaan ekonomi yang semakin menekan hingga memaksa para ibu bapa mencari jalan alternatif bagi menambah pendapatan keluarga sepatutnya dipandang oleh pihak kerajaan dengan tidak harus memberi tekanan lain kepada mereka.

Pemberian biasiswa sememangnya satu perkara yang sangat diharapkan dan kerajaan tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan menjadikan ia sebagai sasaran untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah negara.

Pada pandangan penulis, banyak cara lagi yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan tanpa mengambil hak institusi pendidikan dengan cara mengusik tajaan pemberian biasiswa yang amat bermakna buat mereka yang layak dan sememangnya memerlukan.

Dalam hal ini, kerajaan harus melihat kepada keutamaan sebelum membuat keputusan yang pada pandangan penulis jika benar seperti apa yang dikata, ia adalah satu keputusan yang dibuat secara terburu-buru.

Tiada ulasan: