Rabu, 6 Januari 2016

Amanah tidak puas hati dapat lapan kerusi

Parti Amanah Negara
Parti Amanah Negara


SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor tidak berpuas hati dengan bilangan diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada parti itu untuk mengisi jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusinya, Izham Hashim masih menyimpan harapan untuk meneruskan rundingan dengan pimpinan Pakatan Harapan dan berharap berlaku pertambahan kerusi kepada ahli majlis Amanah.

"Kita akan teruskan lagi rundingan, saya anggap angka itu (lapan) belum muktamad.

"Amanah Selangor akan meneruskan rundingan dengan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan bersesuaian bagi memastikan Pakatan Harapan terus kukuh di Selangor," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, hasil perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan lapan kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dibahagikan kepada wakil Amanah hasil persetujuan antara PKR, Pas dan DAP.

[ARTIKEL BERKAITAN: Amanah dapat lapan kerusi PBT di Selangor]

Bagaimanapun, tambah Izham lagi, Amanah Selangor menyambut baik dan berterima kasih atas kesediaan kerajaan negeri memberi ruang peranan kepada parti mereka dalam PBT.

Sebelum ini, Izham menegaskan tetap dengan keputusan meletakkan kuota antara 24 hingga 34 ahlinya di 12 kerusi ahli majlis PBT.

Menurutnya, setiap satu PBT, pihaknya mahukan sekurang-kurangnya dua kerusi diisi oleh Amanah dan jika berkurang pihaknya akan menolak tawaran berkenaan.


Tiada ulasan: