Rabu, 27 Januari 2016

Akar umbi di Kedah tak setuju tukar MB, kata exco negeri

Susan Loone

 


Sekiranya Menteri Besar Datuk Seri Muhkriz Tun Mahathir disingkirkan daripada jawatannya minggu ini, Kedah mungkin mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum 2018, kata seorang pemimpin kanan BN Kedah.

Exco kerajaan negeri bagi alam sekitar, hal ehwal masyarakat Cina, kesihatan dan perpaduan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, jika ia berlaku, maka kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkan kumpulan anti-Muhkriz kerana menyebabkan kejatuhan Kedah ke tangan PAS pada tahun 2008, akan dilihat ada kebenarannya.

Sejak beliau mengambil alih jawatan menteri besar di Kedah, Muhkriz telah menjejalah ke seluruh negeri itu dan telah berjaya menembusi kubu kuat PAS, kata Leong ketika ditemui di pejabatnya di Alor Setar semalam.

"Hari ini, malah PAS pun menyokong Mukhriz sebagai menteri besar dan begitu juga dengan akar Umno dan bukan Umno. Beliau menarik golongan remaja, warga emas, belia menyokong beliau, dan mereka datangnya dari semua kumpulan etnik," kata Leong, yang juga ADUN Gurun.

"Ini adalah sesuatu yang buat saya menghormati beliau," kata pengerusi MCA Kedah itu yang menyifatkan Muhkriz sebagai seorang menteri besar yang mudah didekati dan tidak kontroversi.

"Dalam media sosial, malah belia Cina yang begitu menentang BN, telah menyatakan sokongan mereka kepadanya. Mereka menyerang Umno kerana cuba menyingkirkan beliau," katanya.

Ditanya bagaimana tepatnya dakwaan bahawa akar umbi menolak sebarang apa penukaran menteri besar di negeri itu, Leong berkata, beliau tidak mempunyai statistiknya.

"Tetapi apabila saya meninjau kawasan pilihan raya saya, maklum balas yang saya dapat - dan ini merentasi semua pihak - adalah bahawa akar umbi menolak sebarang penukaran MB," katanya.

Antara kumpulan anti-Muhkriz yang disebut oleh Mahathir termasuk Timbalan Ketua Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanapiah, yang mengetuai 14 ketua bahagian untuk mengisytiharkan penarikan balik sokongan mereka terhadap Muhkriz.

SD untuk tukar Mukhriz

Umno Kedah dilaporkan telah mendapatkan sokongan yang cukup - melalui akuan bersumpah (SD) - bagi mendapatkan perkenan istana untuk menolak Mukhriz sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Leong dan ADUN Kulim, Chua Thiong Gee telah menafikan menandatangani SD tersebut.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Muhkriz akhirnya akan terpaksa melepaskan jawatannya minggu ini.
Leong berkata rakyat, termasuk penyokong BN sudah bosan dengan "politik" harian di kalangan orang politik.

Bagi beliau, Muhkriz telah melakukan yang terbaik di Kedah, walaupun beliau telah dikritik kerana beberapa projek yang belum menjadi kenyataan.

Leong memberi contoh cadangan pembinaan lapangan terbang Kulim, yang masih dalam kajian, dan menafikan bahawa projek ini telah ditangguhkan kerana hubungan yang tidak rapat antara Muhkriz dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhkriz seolah-olah terperangkap di tengah-tengah perang mulut antara Najib dan bapanya Mahathir , yang menjadi pengkritik sengit perdana menteri.

"Kelewatan dalam pelan lapangan terbang Kulim juga disebabkan oleh halangan terhadap projek itu dari kerajaan Pulau Pinang dan Umno negeri, yang lebih suka Lapangan Terbang di Alor Setar diperbesarkan," kata Leong.

Katanya, jika kajian itu sesuai dilaksanakan, projek lapangan terbang Kulim akan menjadi kenyataan walaupun di bawah menteri besar baru.

Cadangan membina lapangan terbang baru itu disokong oleh rakyat Kedah, terutama masyarakat Cina, yang dapat melihat manfaat untuk pembangunan ekonomi di Koridor Utara.

Satu lagi contoh, yang disebutnya, ialah Zon Hi-Tech Kulim, yang diilhamkan oleh Mahathir dan telah menarik pelaburan kira-kira RM1 bilion di bawah pentadbiran Muhkriz.

'Kebanggaan Malaysia'

Pembangunan kawasan itu, kata Leong, sedang berjalan dan bukan sebaliknya.

Malah, tambahnya,ia menjadi kebanggaan Malaysia dan bukan hanya setakat di Kedah sahaja.

Beliau juga menolak dakwaan Ahmad Bashah yang Muhkriz tidak berada di Kedah pada hujung minggu dan sentiasa pergi ke Kuala Lumpur.

Ahmad Bashah mendakwa bahawa kekerapan Mukhriz ke Kuala Lumpur, yang menyebabkan beliau jarang dilihat di Kedah, adalah antara sebab pemimpin Umno hilang keyakinan terhadap kepimpinan Muhkriz.

"Di mana buktinya, atau statistiknya? Anda tidak boleh hanya menuduh orang lain tanpa fakta," katanya.

"Sejak saya menjadi anggota Exco kerajaan negeri pada 2014, kami mengadakan pertemuan di Kedah kira-kira lima kali (atau kurang) dalam masa setahun; kita ada mesyuarat exco setiap minggu dan hanya dibatalkan atas sebab-sebab yang perlu, bukan sesuka hati kita," katanya.

Leong berkata adalah difahami mengapa Muhkriz pergi KL pada hujung minggu - kerana keluarganya tinggal di sana, dan kadang-kadang, atas urusan rasmi.

Muhkriz adalah seorang bapa yang suka meluangkan masa dengan anak-anaknya, walaupun mempunyai jadual yang sibuk.

"Sejak menjadi menteri besar, beliau telah bekerja untuk menyelesaikan semua tunggakan berhubungan dengan permohonan tanah.

"Mukhriz menghabiskan masa berurusan dengan ramai pelabur yang datang ke Kedah untuk mencari peluang pelaburan dan beliau juga telah pergi ke luar negara untuk mendapatkan untuk menarik pelaburan.

Saya tidak nampak bagaimana ini menjejaskan negeri ini," kata Leong.

2 ulasan:

Master Jaguh berkata...

AWAS !!
Budak Budak Dilarang Masuk !!
Jom Terjah >>> KLIK SINI !! <<<

77777 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.