Isnin, 4 Januari 2016

120 premis jual vape di Johor ditutup

SINAR HARIAN


Vape


JOHOR BAHRU - Kesemua 120 premis yang berdaftar bagi penjualan peranti dan cecair vape di negeri ini sudah ditutup operasi sepenuhnya, kata Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Beliau berkata, berdasarkan risikan polis sehingga semalam penutupan itu termasuk membabitkan enam premis pengedaran utama bagi alat peranti dan cecair vape.  

"Pengesahan penutupan adalah dari Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dan membabitkan sebanyak 120 premis yang dikenalpasti," kata beliau kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga vape mula tutup perniagaan]    

Wan Ahmad Najmuddin berkata meskipun kesemua premis sudah ditutup, pemantauan berterusan akan tetap dilakukan termasuk membabitkan penjualan vape secara dalam talian.

Beliau berkata penjualan vape secara dalam talian, umumnya, adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Bagaimanapun, siasatan polis boleh dilakukan mengikut Akta Racun 1952 selepas mengambil kira faktor cecair vape mengandungi nikotin, kata beliau.

Penutupan premis vape di Johor adalah susulan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mahukan penjualan vape diharamkan bermula 1 Januari 2016.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat turut mengesahkan tiada premis didapati menjual peranti dan cecair vape setakat semalam.

Katanya, peniaga akan berdepan tindakan penguatkuasaan jika masih berdegil menjalankan perniagaan.

Beliau juga memberitahu, sehingga 31 Disember lepas, sebanyak 12 premis vape telah diserbu melalui tiga operasi bersepadu dan selepas pemeriksaan, sebanyak 10,771 botol cecair vape bernilai RM526,980, dirampas. - Bernama


Tiada ulasan: