Jumaat, 6 November 2015

Terengganu sedia bekerjasama dengan Pas


Terengganu sedia bekerjasama dengan Pas
Ahmad Razif (tengah) bersama pemimpin dan perwakilan Umno Terengganu menyanyikan lagu kebangsaan sempena perasmian Konvensyen Umno Terengganu 2015, semalam.


KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu sedia pertimbangkan untuk menjadi negeri pertama berkolaborasi dengan Pas sekiranya parti itu berhajat menjalin kerjasama di peringkat negeri.

Ia susulan daripada tawaran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedia menjadi penasihat kerajaan BN bagi menyelesaikan masalah dihadapi negara ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengalul-alukan tindakan Pas itu, namun menetapkan syarat supaya ia perlulah menetapi kehendak kedua-dua pihak sambil menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah termasuk kemungkinan menempatkan mereka bersama-sama kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, pihaknya akan mendapatkan pengesahan daripada presiden Pas terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu sebagaimana dilaporkan media sebelum ini.

“Kalau bersetuju mungkin Kerajaan Negeri Terengganu boleh menjadi negeri pertama mengadakan kolaborasi tersebut tetapi kita dengar dulu apakah kehendak daripada pihak pembangkang ini.

“Sekiranya menepati atau tidak ada perkara yang pelik-pelik, kita boleh terima,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Umno Terengganu 2015 di Primula Beach Hotel, di sini, semalam.

Dalam laporan media sebelum ini, Pas bersedia bertindak sebagai penasihat bagi membantu Kerajaan BN mentadbir negara dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.

Memetik laporan media terbabit, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan berkaitan pelbagai isu yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), perumahan, kejatuhan nilai mata wang dan sebagainya.

Ahmad Razif turut mendedahkan pernah berjumpa dengan Abdul Hadi apabila dilantik sebagai Menteri Besar sebelum ini sebagai mengambil pandangan semua pihak termasuk pembangkang bagi mempertingkatkan urus tadbir negeri yang lebih baik.

“Dalam kita menguruskan negeri ini, kenapa kita tidak boleh ambil pandangan-pandangan positif. Ini untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Jailani Johari; Setiausaha, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan Ketua Penerangan yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Konvensyen Umno Terengganu 2015, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Tiada ulasan: