Selasa, 3 November 2015

Tak mungkin minyak jatuh bawah AS$40 setong

Bernama


 


Malaysia telah membina ketahanan melalui ekonomi yang pelbagai di samping mengurangkan pergantungan kepada komoditi serta mengimbangi impak kejatuhan harga minyak mentah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, negara ini juga telah memperluas asas pendapatan melalui pengenalan cukai barang dan perkhidmatan pada April lalu yang menawarkan penampan kepada pendapatan kerajaan.

"Berlaku turun naik harga minyak global. Tetapi dengan peningkatan permintaan dalam jangka sederhana, kita melihat harga semakin naik.

“Tidak mungkin harga minyak jatuh di bawah US$40 setong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Perbincangan Terus Terang Pengujian Perisian 2015 di Kuala Lumpur, hari ini.

Minyak mentah penanda aras Brent susut 83 sen atau 1.7 peratus kepada US$48.73 setong pada Isnin.

"Kami akan terus memantau perkembangan global. Apa yang perlu kita lakukan ialah meningkatkan ketahanan kita. Kita melakukannya dengan mempelbagaikan struktur ekonomi kita," kata Abdul Wahid.

Menurutnya, penggiat industri minyak dan gas digalak untuk mengukuh bagi mengekalkan operasi ketika tempoh harg minyak mentah yang rendah.

"Ini adalah sesuatu yang turut diperkatakan Peronas. Ketika kita mengukuhkan penggiat industri, anda melihat mereka beroperasi pada skala yang lebih baik, mereka telah mengurangkan kos agar mereka boleh bertahan ketika tempoh harga minyak rendah," katanya.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pengujian Perisian Malaysia, Mastura Abu Samah berkata, forum itu memainkan peranan penting dalam membangunkan persekitaran ekosistem kerja yang kukuh.

"Sejak lima tahun lepas, perbincangan pada forum yang serupa telah mendorong pergerakan penting dalam meningkatkan kesedaran dan permintaan untuk perkhidmatan penentusahan dan pengesahan (IVV) di Malaysia," tambahnya.

Bertemakan 'Menjamin Kualiti Melalui Perkhidmatan IVV', forum itu bertujuan mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan untuk memajukan lagi industri pengujian perisian di Malaysia.

Forum dua hari itu dihadiri 200 peserta daripada industri pengujian perisisan, sektor kerajaan serta akademik.- Bernama


Tiada ulasan: