Rabu, 4 November 2015

Selangor selesaikan hutang pusat tahun depan

Zulaikha Zulkifli  





Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menyelesaikan jumlah tunggakan hutang terhadap kerajaan persekutuan pada tahun 2016.

"Sehingga 30 September 2015 jumlah keseluruhan tunggakan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM6.73 juta.

"Dan kerajaan negeri bercadang menyelesaikan hutang tertunggak ini sebanyak RM6.73 juta pada tahun 2016 memandangkan kebanyakan kerajaan negeri (lain) masih lagi belum membentangkan penyata kewangan 2014 di dewan undangan negeri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Suee Lim (gambar) (DAP-Sekinchan) berhubung jumlah terkini kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Selain itu, dalam soalan tambahan, Ng kemudian bertanya tentang status hutang industri air Selangor, ADUN Bukit Antarabangsa itu berkata hutang terhadap kerajaan persekutuan akan dibayar oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) melalui syarat yang ditetapkan.

"Dalam konsesi penswastaan antara kerajaan persekutuan, SYABAS dan kerajaan negeri telah inovasikan jumlah pinjaman dan dipindahkan kepada SYABAS dalam konsesi penswastaan di mana salah satu syarat yang ditetapkan ialah SYABAS perlu membayar pinjaman tersebut kepada kerajaan persekutuan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Itu adalah sebahagian daripada terma dalam konsesi penswastaan.

“Maka ketika berlakunya penstrukturan industri perkhidmatan air Selangor, hutang kerajaan ini turut diambil kira dan menjadi tanggungjawab air Selangor untuk membayar terus baki pinjaman tersebut kepada kerajaan persekutuan melalui pajakan sewa kemudahan air melalui pam air," kata Azmin.


Tiada ulasan: