Isnin, 23 November 2015

PAS Selangor ikrar tidak akan beri laluan mudah untuk DAP

 Oleh Sharifah Azmawatie Syed Abd Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM:  PAS Selangor berikrar tidak akan memberi laluan mudah kepada Pakatan Harapan (PH) diiktiraf di negeri itu.
 
Amaran itu ditegaskan Setiasauaha PAS Selangor, Mohd. Khairuddin Othman selepas bekas Ketua Dapsy Kebangsaan, Teo Kok Seong membidas negeri itu kerana sehingga kini tidak mengiktiraf penubuhan PH sepertimana negeri-negeri lain.
 
"Pendirian kita (PAS) jelas yang kita tidak akan keluar daripada Selangor.
 
"Apa pun dia (DAP) cuba buat dan kata, kita akan kekal sebagai kerajaan dalam Selangor, itu pendirian kita," kata Khairuddin ketika dihubungi Antarapos.
 
Khairuddin dalam pada itu berkata, DAP sewajarnya tidak mencampuri segala urusan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
 
Tindakan DAP itu katanya hanya mahu mengeruhkan lagi keadaan selain dilihat mahu mengamalkan budaya 'memaksa'.
 
"Saya sudah sebutkan budaya yang timbul sekarang ini ialah budaya paksa supaya orang perlu terima pandangan dia (DAP), budaya paksa.
 
"Jadi kalau Pulau Pinang sudah menjadi negeri Pakatan Harapan, Selangor ini kita serahkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) untuk tentukan.
 
"Jadi kalau Dapsy tidak bersetuju dengan Pakatan Rakyat sekarang ini, jadi dia boleh fikir-fikirkan balik kedudukan dia," katanya lagi.
 
Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki pula berpendapat tindakan DAP yang berterusan mendesak agar PH diiktiraf di Selangor mungkin kerana mahu rakan komponennya, Parti Amanah Negara (Amanah) diterima rakyat.
 
Pengiktirafan Amanah itu penting sebagai persediaan untuk PH mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
 
Jika peranan Amanah tidak diiktiraf, parti serpihan PAS itu akan terkubur begitu sahaja, dakwa Zuhdi.
 
"Saya nampak ianya ada kaitan juga dengan nasib Parti Amanah Negara (Amanah). Amanah ini walaupun dia menyokong kerajaan negeri Selangor, tetapi dia tidak dapat apa-apa portfolio dalam kerajaan negeri.
 
"Jadi mereka ini melalui DAP dan Amanah ini, mereka mendesak supaya Menteri Besar sekarang memberikan ruang kepada Amanah untuk berperanan dalam kerajaan.
 
"Apabila menghadapi PRU14, keadaan mereka jika mereka mempunyai kedudukan dalam kerajaan, maka kedudukan mereka akan lebih kuatlah, itu andaian saya.
 
"Kalau dia jadi kerajaan (Pakatan Harapan) di Selangor, jadi dia (Amanah) dilihat berpotensi untuk menang dan sebagainyalah," ujarnya lagi.
 
Buat masa ini Selangor masih digerakkan oleh Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.
 
Namun PAS menegaskan parti itu hanya bekerjasama dengan PKR, begitu juga dengan DAP (hanya bekerjasama dengan PKR).
 
Hubungan PAS dan DAP tamat sebaik sahaja Setiausaha Agung DAP mengumumkan putus hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
 

Tiada ulasan: