KUALA LUMPUR,  Pimpinan Pas Pusat akan memanggil bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa bagi memberikan penjelasan ke atas pelbagai isu yang dibangkitkan beliau melibatkan kerajaan Kelantan dan juga Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Husam akan diminta untuk mengemukakan bukti bagi setiap tuduhan-tuduhan yang dikeluarkannya sama ada di media sosial mahupun dalam ceramah umum di Kelantan.

Menurut Tuan Ibrahim, sebagai ahli Pas, Husam seharusnya menggunakan saluran dalaman parti mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Beliau patut tahu sebagai ahli parti sekiranya ada sebarang pertanyaan perlulah dikemukakan secara dalam terlebih dahulu dan sebagai ADUN Salor beliau juga patut bangkitkan dalam sidang DUN Kelantan.

“Kita belum menetapkan sebarang tarikh lagi namun ia akan dilakukan dalam tempoh yang terdekat dan beliau perlu datang dengan bukti-bukti secukupnya untuk membuktikan segala dakwaannya itu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Sementara itu, mengulas mengenai pelan Umno untuk menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa Pas tidak tergugat dengan perancangan parti lawannya itu.

Jelasnya, parti Islam tersebut mempunyai strategi dan pendekatan tersendiri untuk menjawab segala persoalan dan cubaan Umno untuk meracuni pemikiran rakyat Kelantan.

“Sekiranya mereka ingin gunakan isu rumah bagi mangsa banjir, ia sebenarnya adalah kejayaan Pas kepada rakyat kerana sebelum ini tidak pernah kerajaan membina rumah secara percuma kepada mereka.

“Banjir besar di Pahang pada tahun 70-an menyaksikan rakyat terpaksa membina sendiri rumah mereka namun kali ini kerajaan negeri dan pusat masing-masing membina rumah menggantikan yang telah rosak.

“Sekalipun ada sedikit masalah namun ia adalah melibatkan rumah yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan yang ada yang belum siap dibina,” tegasnya.