Selasa, 24 November 2015

Malaysia gagal sebagai pengerusi Asean 2015



Oleh Lee Boon Heng


Hujung minggu yang lepas, kita menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah kepada kemuncak Persidangan Asean dan juga beberapa persidangan lain.

Kehadiran beberapa pemimpin terkenal dunia termasuk Preseiden US Barrack Obama, Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye, Perdana Menteri China Li KeQiang, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, dan Perdana Menteri India Narendra Modi dikatakan memeriahkan lagi persidangan kali ini.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak kelihatan sibuk melayan tetamu VVIP ini.

Beberapa jalan utama di Kuala Lumpur juga terpaksa ditutup untuk memastikan pergerakan perjalanan VVIP ini adalah lancar dan selamat. Seramai 7000 tentera dan polis dikerah untuk mengawal keselamatan VVIP ini


Tahun ini juga merupakan tahun yang bermasalah kepada Asean.Tetapi atas dasar prinsip tidak campur tangan urusan negara antara Asean seperti termaktub dalam Dekralasi Bangkok, maka beberapa isu yang berlaku pada tahun ini dikalangan negara Asean tidak dapat diselesaikan seterusnya menyebabkan negara jiran terkesan.

Antaranya isu perlarian kaum Rohingya dari Myanmar dan masalah jerebu akibat kebakaran hutan di Indoneasia.

Beribu perlarian kaum Rohingya pada pertengahan tahun ini menimbulkan krisis perlarian di Asean selepas Perang Vietnam pada 1960-an.

Kaum Rohingya terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka di Barat Myanmar yang bersempadan dengan Bangaladesh, kerana kerajaan Myanmar melancarkan tindakan “ethnic cleansing” dengan membunuh dan menghalau mereka keluar dari Myanmar.

Ini adalah polisi kerajaan Myanmar yang tidak mengiktiraf kaum lain di negara tersebut selain 8 kaum majoriti. Mereka terpaksa menjadi perlarian dengan menaiki bot yang serba kekurangan berlayar di Lautan Hindi dan sampai ke Selat Melaka untuk memasuki Malaysia, Indonesia Dan Singapura.

Tetapi 3 negara ini pula menghantar tentera laut untuk halau perlarian ini dari memasuki kawasan perairan mereka.

Ramai antara mereka yang mati kebuluran, kerana tiada makanan dan minuman. Ada di antara mereka yang ditipu sindiket perdaganggan manusia dengan membayar beribu ringgit untuk ke Malaysia bekerja.

Sebagai Pengerusi Asean tindakan kerajaan Malaysia yang menghalau mereka agar tidak memasuki perairan Malaysia adalah sangat mengecewakan.

Malaysia sepatutnya bertindak mengadakan perbincangan dengan negara berkepentingan dan mencari jalan penyelesaian, bukan membiarkan kaum Rohingya ini terapung dan akhirnya “berkerandakan lautan”.

Isu jerebu adalah tidak asing untuk Malaysia dan Singapura saban tahun, tetapi tahun ini agar serius dan dalam waktu 2 bulan sekolah di Malaysia terpaksa ditutup beberapa kali akibat indeks pencemaran udara yang terlampau tinggi.

Tahun ini juga, wilayah di Selatan Thailand dan Flipina mencatat indeks pencemaran yang tinggi dan jerebu pada tahun ini dianggap yang terburuk dalam masa 20 tahun.

Seperti isu Rohingya, Malaysia tidak bertindak dan hanya membiarkan ia.

Sekali lagi, Malaysia gagal memainkan peranan utama dalam isu sejagat Asean.

Banyak lagi isu Asean yang perlu ditangani, namun Malaysia tidak mampu memainkan peranan. Janganlah kita berharap isu perebutan pulau di Laut Cina Selatan yang memperlihatkan pertembungan 2 kuasa utama dunia boleh diselesaikan Malaysia.

Dasar tidak campur tangan antara negara Asean tidak seharusnya menjadi alasan utama dalam penyelesaian isu berkaitan dengan negara Asean lain.

Sebagai gabungan Asean, semua negara perlu bekerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk hak asasi, demokrasi, keterbukaan polisi, kebebasan dan kesihatan.

Jangan hanya terhad kepada perdagangan sahaja.

Tiada makna untuk wujudkan Asean jika gagal dalam menyelesaikan masalah yang menjejaskan negara lain.

Tiada ulasan: