Selasa, 3 November 2015

Mahkamah Tinggi tentukan 3 persoalan undang-undang dalam kes Khairuddin, Matthias

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA : Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Mahkamah Tinggi menentukan tiga persoalan undang-undang berhubung pendakwaan terhadap bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya, Matthias Chang.
 
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan.
 
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi akan mendengar pada Khamis ini sama ada pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-duanya di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, boleh dibicarakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Akta 2012 (SOSMA).
 
Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur merujuk kes melibatkan kedua-duanya ke mahkamah tertinggi negara bagi memastikan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah SOSMA.
 
Mahkamah Tinggi mengemukakan tiga persoalan undang-undang iaitu sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 124L tertakluk di bawah SOSMA sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan.
 
Jika persoalan itu dijawab secara positif, persoalan berikut yang perlu dijawab ialah adakah kedua-dua pemohon (Khairuddin dan Matthias) berhak dibebaskan dengan jaminan.
 
Sebaliknya, jika jawapan kepada persoalan pertama adalah negatif, mahkamah akan menentukan sama ada perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan di Mahkamah Sesyen dengan mengambil kira peruntukan hukuman tertakluk di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.
 
Pada 12 Oktober lalu, Khairuddin dan Matthias didakwa cuba melakukan perbuatan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu bertempat di lima lokasi berlainan.
 
Lokasi-lokasi itu ialah di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura. 


Tiada ulasan: