Selasa, 3 November 2015

Kes SOSMA Khairuddin-Chang kembali ke Mahkamah Tinggi

Hafiz Yatim 






Mahkamah Persekutuan hari ini menyerahkan semula kepada Mahkamah Tinggi untuk memutuskan sama ada dakwaan terhadap bekas pemimpin bahagian Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang adalah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2015 (SOSMA).

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria yang mengetuai panel lima anggota selepas mendapati tiga persoalan undang-undang berhubung pendakwaan yang ditimbulkan tidak sempurna mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1984.

"Mahkamah ini mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar perkara berkenaan dengan segera dan perkara itu akan didengar pada Khamis," katanya.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi akan mendengar pada Khamis ini sama ada pertuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua mereka di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, boleh dibicarakan di bawah SOSMA.
Arifin juga enggan membenarkan ikat jamin sementara kerana bimbang ia boleh mempengaruhi isu berkenaan.

Hakim-hakim lain yang bersidang bersama ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Ma'arop, Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Ramly Ali.

Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur merujuk kes melibatkan kedua-duanya ke mahkamah tertinggi negara bagi memastikan sama ada pertuduhan yang mereka hadapi boleh dibicarakan di bawah SOSMA.

Mahkamah Tinggi mengemukakan tiga persoalan undang-undang iaitu sama ada pertuduhan mengikut Seksyen 124L tertakluk di bawah SOSMA sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

Jika persoalan itu dijawab secara positif, persoalan berikut yang perlu dijawab ialah adakah kedua-dua pemohon (Khairuddin dan Matthias) berhak dibebaskan dengan jaminan.

Sebaliknya, jika jawapan kepada persoalan pertama adalah negatif, mahkamah akan menentukan sama ada perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh dijalankan di Mahkamah Sesyen dengan mengambil kira peruntukan hukuman tertakluk di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Pada 12 Oktober lalu, Khairuddin dan Matthias didakwa cuba melakukan perbuatan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di antara 26 Jun dan 26 Ogos lalu bertempat di lima lokasi berlainan.

Ia berhubung tindakan mereka membuat laporan polis mengenai skandal 1MDB dan danaRM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lokasi-lokasi itu ialah di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Paris, Perancis; Balai Polis Charing Cross, London; Pejabat Peguam Negara Switzerland, Bern; Balai Polis Waichan, Hong Kong; dan Ibu Pejabat Polis Cantoment, Singapura.


Tiada ulasan: