Jumaat, 6 November 2015

Kementerian nafi banteras vape kerana tekanan daripada syarikat tembakau




Kementerian Kesihatan Malaysia menafikan pernah bekerjasama dengan mana-mana syarikat tembakau dalam  membanteras gejala vape yang kini dianggap semakin serius. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 November, 2015. 
Kementerian Kesihatan Malaysia menafikan pernah bekerjasama dengan mana-mana syarikat tembakau dalam membanteras gejala vape yang kini dianggap semakin serius. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini menafikan dakwaan pihaknya berusaha membanteras gejala rokok elektronik atau "vape" kerana menerima tekanan daripada syarikat tembakau.

Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) kementerian Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, pihaknya tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana syarikat tembakau kerana ia menyalahi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia Mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC).

"KKM tidak pernah bekerjasama dengan syarikat rokok. Ia salah di bawah WHO FCTC.

"Ada statistik kerugian teruk industri? Ada statistik siapa sebenarnya 'vaper'?" soalnya kepada The Malaysian Insider sambil menegaskan tindakan membanteras gejala vape adalah tepat untuk mengekang masalah yang dianggap semakin serius itu. Dr Lokman berkata, pihaknya mendapati ramai di kalangan bukan perokok yang kini mula terlibat dalam penggunaan vape.

"Malah, masalah ini menular di kalangan murid sekolah dan kanak-kanak," katanya.

Beliau turut mendakwa, industri rokok juga sebenarnya akan mengaut keuntungan daripada perkara ini kerana mereka juga katanya berminat melabur dalam pasaran vape itu.

"Sebenarnya, industri rokok yang akan untung nanti apabila tabiat 'merokok' diterima sebagai satu budaya, dan ketagihan dikekalkan melalui nikotin dalam cecair vape.

"Kenapa saya kata industri rokok akan untung dan ambil kesempatan ini? Sebab, industri rokok sudah mula membeli saham dan melabur dalam industri (vape) ini," katanya kepada The Malaysian Insider tanpa menamakan sebarang syarikat tembakau yang berbuat demikian.

Justeru katanya, dakwaan kononnya syarikat tembakau menekan pihak kementeriannya tidak benar sama sekali.

"Kenapa pula mereka nak campur tangan dalam tindakan ini?

"Sebab itu kementerian mengambil pendekatan 'mencegah lebih baik daripada mengubati'," katanya sambil menegaskan kerajaan akan mempertingatkan pencegahan dan kempen membanteras gelaja vape berperisa nikotin.

Walaupun seorang menteri mengumumkan Kabinet memutuskan untuk tidak mengenakan larangan ke atas rokok elektronik atau vape, kementerian berkata pada Selasa, ia akan merampas kandungan nikotin yang terdapat dalam vape daripada semua peniaga di seluruh negara, dalam usaha mengekang gejala vaping di kalangan rakyat Malaysia.

Memetik Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia Samsul Kamal Arriffin, The Star melaporkan lebih daripada 300 kedai di Selangor sahaja, dan kawasan lain di seluruh negara, diserbu kementerian.

Beliau berkata, tidak adil kawalan ketat itu dilakukan apabila Kabinet jelas menyatakan sebaliknya.

Pada 30 Oktober, Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menulis di laman Facebook beliau, vape tidak akan diharamkan.

"Berita baik untuk vapers, vapers brewers (pembancuh perisa vape) dan peniaga vape, Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak mengharamkan vape. Terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan yang memahami aspirasi anak muda," katanya.


Tiada ulasan: