Selasa, 10 November 2015

Jakim relevan, jalankan fungsi utama




Othman Mustapha
Othman


PUTRAJAYA - Kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus relevan dan kukuh bagi menjalankan tiga fungsi utamanya iaitu melaksanakan tugas-tugas penyelarasan dalam bidang undang-undang, pendidikan dan pentadbiran Islam.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, jabatan itu signifikan sebagai urusetia kepada Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam, yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 1969.

"Jakim adalah sebuah agensi pusat yang ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan bagi menyelaraskan isu-isu berkaitan hal ehwal Islam.

"Selain itu, Jakim berperanan membantu perdana menteri dalam hal ehwal Islam selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.   

 Menurutnya semua dasar kerajaan juga perlu mengambil kira kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembgaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 12(2) secara nyata membenarkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menubuhkan dan menyediakan sejumlah wang bagi menyelenggara institusi-institusi Islam seperti masjid serta sekolah.

Othman berkata, Jakim sentiasa menjulang tinggi kuasa Islam yang terletak di bawah kuasa sultan di setiap negeri seluruh negara, manakala Raja-Raja Melayu mendapat nasihat daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dalam hal berhubung dengan pentadbiran dan kemaslahatan umat Islam.

"Oleh itu, kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam dan perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal Islam terus diwarisi dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru, Jakim berharap semua pihak dapat menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan agar keamanan dan keharmonian yang dikecapi berkekalan," katanya.

Kenyataannya dipercayai merujuk kepada artikel sebuah portal yang mengandungi saranan supaya Jakim dimansuhkan. - Bernama


Tiada ulasan: