Khamis, 12 November 2015

Ingat mudah kalahkan PAS di Kelantan - Ahmad Yaakob

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob menyifatkan hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri PAS itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang umpama 'bermimpi di siang hari'. 
 
Beliau yang mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas kematian bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata seeloknya parti itu 'mengukur baju di badan sendiri' sebelum membuat kenyataan sedemikian.
 
"Ia begini sebagai mana-mana parti politik apabila ia sudah rasmi sebagai parti politik ia mahu mengecapi kemenangan, mana-mana parti pun.
 
"Tapi kenyataannya bagi Kelantan ini saya yakin rakyat amat matang dalam berpolitik, dia akan lihat ke arah mana hala tuju dan apa motifnya," katanya kepada Antarapos.
 
Menurut Ahmad, pihaknya yakin rakyat mempunyai kematangan dalam membuat penilaian di mana Amanah dilihat masih baru sebagai parti politik yang dibentuk selepas muktamar tahunan PAS yang dianggotai bekas-bekas pemimpin parti Islam itu yang kecewa. 
 
"Kalaulah dia (Amanah) nak perjuangkan Islam sebagai mana tuntutan daripada dakwah, saya rasa PASlah yang sepatutnya berjuang pada hari ini.
 
"Kalau berasaskan kepada isu semasa saya rasa PKR telah pun perjuangkan isu semasa dan ini menjadi perhatian rakyat Kelantan walaupun kita tahu di Kelantan ini realitinya politik terbuka di mana rakyat akan lihat apa matlamatnya dan tujuan," katanya.
 
Beliau mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu yang menyebut parti itu bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada PRU14.
 
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Nik Aziz.
 
"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima Amanah). Kalau sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu (untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di Pasir Mas kelmarin.
 
Mat Sabu berkata pada masa ini, Amanah akan memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan PKR.
 
Bukan mudah untuk Amanah ambil alih pentadbiran PAS di Kelantan
 
Mengulas lanjut Timbalan Mursyidul Am PAS ini, percubaan Amanah yang menampilkan imej Islam adalah sebuah pendekatan yang telah digerakkan parti berteraskan Islam itu menambah rakyat Kelantan tidak akan terpengaruh dengan gerakan parti baru itu.
 
"Nak mengambil alih itu saya rasa bukan semudah kita nak pisahkan sesuatu barang ke satu tempat lain.
 
"Di mana orang Kelantan ini sudah ada latarbelakangnya mereka matang dalam berpolitik dan politik itu mesti politik yang ke arah politik Islam, yang dilihat amalkan Islam dan yang dilihat apakah masa depan Islam," katanya.
 
Menurut Ahmad lagi, PAS Kelantan bersedia berhadapan dengan apa jua kemungkinan pada PRU14 nanti dan berkeyakinan corak pentadbiran Islam yang diamalkan akan terus disokong serta didokong rakyat khususnya pengundi di negeri berkenaan.
 
"Jadi saya rasa tidak semudah yang disebut saudara Mat Sabu, tidak semudah itu tetapi dia boleh sebutlah sebagai sebuah parti politik baru untuk menjadi pendekatan dia.
 
"Bagi saya bukan satu perkara mudahlah sebab saya yakin dengan dasar membangun bersama Islam yang telah kita buat selama ini sebagai pendekatan kita dan rakyat melihat serta merasa.
 
"Amanah ini sebagai sebuah parti baru yang mana rakyat Kelantan memang akan lihat ke mana nak pergi, apa tujuannya, pada dasarnya dan sebagainya," katanya.
 
 

Tiada ulasan: