Isnin, 9 November 2015

Hanya ahli farmasi berlesen boleh jual cecair vape

SINAR HARIAN


vape
Vape - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Cecair perisa e-rokok yang mengandungi nikotin hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, itu merupakan keputusan terbaru kementerian dalam usaha mengawal penggunaan dan penjualan e-rokok di negara ini.

"Cecair e-rokok yang mengandungi nikotin dikehendaki didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

"Ia hanya boleh dijual oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar dan perlu direkodkan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas berkaitan e-rokok di sini, hari ini.

Katanya lagi mengikut Akta Racun 1952, penjualan nikotin oleh lain-lain pihak adalah salah di sisi undang-undang.

Kementerian pada 30 Oktober lalu, berkata kabinet telah mengeluarkan keputusan untuk tidak mengharamkan e-rokok atau vape.

Minggu lalu, kementerian telah memulakan operasi merampas cecair vape yang mengandungi nikotin.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengendalikan isu berkaitan e-rokok yang dipengerusikan oleh Dr Noor Hisham. - Bernama


Tiada ulasan: