Ahad, 29 November 2015

Guan Eng diminta beri jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan

Bernama
Guan Eng diminta beri jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan
UMNO Pulau Pinang meminta kerajaan negeri pimpinan DAP mengambil kira ulasan dan ketetapan yang dibuat oleh bahagian teknikal Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan jabatan persekutuan kerana ada projek yang mendapat ulasan negatif. - Gambar Fail
 
 
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng Sabtu digesa memberikan jawapan berhubung penukaran syarat tanah pertanian kepada pembangunan di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata sehingga kini Lim masih membisu dan tidak menyatakan berapa luas tanah sawah yang telah ditukar menjadi tanah pembangunan.

"Ini semua kita tidak dapat jawapan, jangan membisu. Jangan buat tindakan sesuka hati, perkara dan keputusan dibuat sewenang- wenangnya tanpa memberi penjelasan kepada rakyat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO di sini pada Sabtu.

Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang juga turut meminta kerajaan negeri pimpinan DAP mengambil kira ulasan dan ketetapan yang dibuat oleh bahagian teknikal Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan jabatan persekutuan kerana pihaknya dimaklumkan ada projek yang mendapat ulasan negatif tetapi ia tetap diluluskan.

"Kita harap kerajaan negeri ambil kira ulasan ini kedua-dua jabatan ini terhadap isu projek penambakan, isu tanah dan penukaran tanah," katanya.

Dalam perkembangan lain, UMNO Pulau Pinang turut melahirkan rasa simpati terhadap ahli dan pemimpin PAS di peringkat akar umbi yang telah ditamatkan perkhidmatannya dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) baru-baru ini.

Beliau berkata UMNO negeri bersedia menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan ahli PAS dengan mempelawa mereka berhubung dengan JKK Persekutuan yang diwakili Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

"Pemimpin PAS ini ada pengaruh yang kuat di kampung-kampung dan di taman-taman, yang mana kita boleh bekerjasama di peringkat bawah untuk atasi masalah kampung.

"Kita boleh bantu, kita harap PAS tidak bermuram dan pilu kerana dibuang. Kita wakil UMNO di bawah JKKP sedia membantu mereka," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengumumkan telah menamatkan perkhidmatan 300 ahli JKKK dari PAS kawasan Kepala Batas kerana mendakwa mereka tidak menyokong kerajaan Pakatan Harapan negeri itu.

Ahad lepas, PAS Pulau Pinang telah mengarahkan semua 1,083 ahli JKKK dari parti itu di negeri ini meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Tiada ulasan: