SHAH ALAM : Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan bahawa satu mesyuarat
diadakan antara beliau dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berhubung konspirasi berkaitan kerjasama PAS dan Umno pada tahun lalu.
"Ia tidak benar sama sekali," katanya ketika ditemui selepas merasmikan
Persidangan Usahawan Malaysia-China Ke-5 (MCEC 2015) di sini Sabtu.
Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas
dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bahawa ada kebenaran di
sebalik dakwaan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa Abdul
Hadi cuba membentuk kerajaan perpaduan bersama dengan Umno di Selangor
semasa krisis menteri besar tahun lalu.
Azmin berkata beliau tidak tahu mengenai konspirasi tersebut kerana beliau bukan ahli PAS.
Ditanya sama ada beliau bertemu dengan Abdul Hadi pada tahun lalu,
Azmin berkata beliau sebenarnya bertemu dengan semua presiden parti
termasuk dari Umno.
Sambil menegaskan fokus utama kerajaan negeri itu pada hari ini adalah
menjaga kepentingan rakyat, Azmin berkata apa yang lebih penting bagi
pasukannya termasuk ahli exco negeri adalah bekerja keras ke arah itu.
"Sepanjang pengetahuan saya, negeri Selangor masih kuat dan kami akan
terus menjaga kepentingan rakyat. Sesiapa yang mahu terus mempolitikkan
perkara ini, biarkan sahaja mereka. Saya hanya mahu bercakap tentang
kerja. Saya hanya mahu bekerja," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan