Khamis, 12 November 2015

Amanah tidak tumpang kekuatan Pas


Amanah tidak tumpang kekuatan Pas
Mat Sabu (kiri) menyampaikan ceramah pada program Pelancaran Pakatan Harapan Pasir Puteh, malam kelmarin.


TUMPAT – "Saya juga punca Pas kuat tetapi Amanah (Parti Amanah Negara) tidak menumpang kekuatan Pas," kata Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata, beliau adalah antara individu di sebalik kejayaan Pas kerana pernah bersama Pas dan membina parti Islam Pas sejak 37 tahun.

“Kita tak tumpang Pas, kejayaan Pas selama ini kejayaan bersama.

“Saya baru tinggalkan Pas empat bulan, jadi selama ini 37 tahun saya bina Pas, kejayaan Pas selama ini kami yang buat,” katanya selepas program Santai Pagi Bersama Presiden di Dataran Wakaf Bharu bersebelah Pasar Wakaf Bharu, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan Amanah seperti ingin menumpang apa yang telah dibina oleh Pas selama ini berikutan kenyataannya bahawa parti itu sedia menggantikan Pas mentadbir Kerajaan Kelantan pada PRU14.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu menyifatkan keyakinan Amanah mampu menggantikan Pas Kelantan sebagai realistik berikutan sokongan rakyat.

“Tak mimpi. Kami akan melihat perkembangan sokongan, setakat ini sokongan sangat hebat,” katanya.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden Pas itu bersarapan bersama rakyat sebelum berucap dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung Pasar Wakaf Bharu.

Mat Sabu memperkenalkan Amanah kepada orang ramai dan menjelaskan matlamat parti Amanah ditubuhkan.

“Kenapa ada parti Amanah, sebab demo (Pas) tak serupo dulu, kalu demo (Pas) supo dulu, tak adalah parti Amanah ini,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya di PASIR PUTEH kelmarin, Mohamad Sabu menegaskan Amanah bukan sahaja akan menentang Umno pada PRU14, malah menentang mana-mana pihak yang membantu parti itu.

Katanya, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah mengatakan kekuatan Umno terletak pada ‘tongkatnya’ iaitu MCA dan MIC.

“Ertinya kalau nak tumbangkan Umno, mesti patahkan tongkat itu, sekarang MIC hidup segan mati tak mahu, MCA hilang entah ke mana dan Gerakan, kuburnya tidak bertanda.

“Tapi bila Umno hilang tongkat, Pas memberi tongkat baharu, ingat, tongkat itu kita akan patahkan dalam Pilihan Raya Umum nanti,” katanya.

Menurutnya, Pas tidak lagi boleh diharapkan kerana pemimpinnya mengambil sikap berkecuali apabila ada usaha untuk menolak bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas kelantangan Datuk Husam Musa mengkritik Kerajaan Kelantan, beliau berkata, Pas sepatutnya berbincang mengenakan tindakan disiplin jika Husam terbukti menabur fitnah.


Tiada ulasan: