Jumaat, 6 November 2015

Adun nafi diugut setuju naik elaun


Rozi Muhammad
Rozi Muhammad


KOTA BHARU - Adun Pas Kelantan menafikan dakwaan menerima amaran berdepan tindakan sekiranya menolak keputusan kenaikan elaun wakil rakyat sebagaimana diputuskan pada hari pertama sidang dewan Isnin lalu.

Adun Tendong, Rozi Muhammad bagaimanapun berkata, beliau  mengakui kenaikan elaun tersebut telah menimbulkan dilema dalam kalangan wakil rakyat apabila perlu memikirkan antara keperluan sendiri dan rakyat.

“Amaran itu tak betul, sebaliknya wakil rakyat dalam dilema, dari sudut keperluan satu hal, aspek lain pun perlu difikirkan juga termasuk masalah yang membebani rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rozi berkata, bagaimanapun kenaikan elaun berkenaan bukan untuk diri sendiri semata- mata sebaliknya dikongsi dengan rakyat hampir setiap masa terutama dalam aspek kebajikan dan yang berkaitan dengan kepentingan mereka.

“Walaupun ada cadangan daripada pembangkang supaya dinaikkan kepada RM11,000 sebagaimana elaun wakil rakyat di negeri lain, tetapi kita tak setuju, kerana berpendapat kenaikan dari RM4,600 kepada RM8,000 sesuai dengan tugas dan komitmen digalas wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan, kenaikan elaun dibuat selepas mendapat persetujuan sebulat suara ahli dewan yang menghadiri persidangan pada hari tersebut.

Menurutnya, isu kenaikan elaun wakil rakyat telah dibincangkan sejak sekian lama namun baru kini diputuskan dewan selepas mengambil kira keperluan wakil rakyat ketika ini.

“Sebelum ini, ketika negeri lain naik, Kelantan tak naik, malah apabila negeri lain naik kepada RM11,000 kita hanya naik daripada RM4,600 kepada RM8,000, tetapi sebagaimana yang diperkatakan Menteri Besar, ia kenaikan yang sesuai pada masa ini.

“Walaupun ada permintaan dari pembangkang yang menganggap sudah tiba masanya (elaun) dinaikkan kepada RM11,000, tetapi MB kata cukup setakat RM8,000, dan kita rasa ia munasabah dan adil kepada Adun yang berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Adun Salor, Datuk Husam Musa mendakwa beliau mendapat maklumat terdapat amaran sekiranya ada dalam kalangan Adun yang menolak keputusan tersebut, mereka akan dikenakan tindakan.


Tiada ulasan: