Isnin, 13 Julai 2015

Tak perlu bubar Dun, Azmin boleh terus tadbir

Azmin Ali
Azmin Ali
 
 
SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali masih boleh memimpin Kerajaan Selangor walaupun Pas secara rasminya sudah memutuskan hubungan politik dengan DAP.
 
Ketua Kluster Tadbir Urus, Undang-undang dan Pentadbiran Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Mohamed Azmin tidak menghadapi masalah yang besar meyakinkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah beliau masih mendapat sokongan majoriti untuk memegang jawatan menteri besar.
 
“Dun Selangor tidak perlu dibubarkan kerana PKR masih mendapat sokongan Pas dan DAP, walaupun dalam masa sama Pas dan DAP sudah tiada ikatan lagi.
 
“Jika PKR nyatakan mahu bersama Pas, mereka masih punya majoriti. Begitu juga sebaliknya jika PKR nyatakan mereka bersama DAP,” katanya.
 
Menurutnya, ketika ini tiada masalah besar untuk Dun Selangor berjalan dengan baik kerana wakil-wakil parti masih berpegang pada dasar persefahaman bersama.
 
Di Selangor, Pas dan DAP menguasai 15 kerusi Dun, manakala PKR pegang 14 kerusi.
 
Nik Ahmad Kamal berkata, keputusan Majlis Syura Ulama, Jumaat lalu tidak menjejaskan kedudukan Dun di Selangor, tetapi menyebabkan Pas berada dalam keadaan yang rumit.
 
“Keadaan akan menjadi lebih rumit sekiranya parti Gerakan Harapan Baharu (G18) ditubuhkan nanti. Ketika itu mungkin akan berlaku sedikit kepincangan dalam Dun Selangor apabila ada yang lompat parti,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: