KUALA LUMPUR, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyuarakan rasa risau berkenaan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu berdasarkan fahaman politik mereka, baru-baru ini.


Suruhanjaya itu berkata, tindakan pihak berkuasa itu mengehadkan hak asasi rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pengehadan termasuk kebebasan bergerak, kebebasan berekspresi, kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar, antaranya.

“Suruhanjaya ini benar-benar risau dengan beberapa bentuk diskriminasi oleh pihak berkuasa terhadap orang ramai yang berdasarkan kepada fahaman politik mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, SUHAKAM terperanjat dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk menguatkuasakan penggantungan selama tiga bulan permit penerbitan terhadap dua akhbar bisnes yang dimiliki oleh Kumpulan Media The Edge.

Katanya, penggantungan itu dibuat kerana akhbar berkenaan menyiarkan laporan berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggap menjejaskan keselamatan orang ramai dan kepentingan negara.

“Kami turut kesal dengan keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyekat akses ke laman web Sarawak Report atas alasan keselamatan negara dan rakyat.”

Hasmy berkata, SUHAKAM percaya semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk kebebasan maklumat dan akses kepada pandangan yang berbeza.

Beliau menggesa pihak berkuasa supaya menarik balik penggantungan permit dua akhbar berkenaan dan menghormati kebebasan media.

Tambahnya, penting untuk kita memelihara kebebasan dan kepelbagaian media.

Hasmy berkata keputusan untuk mengehadkan kebebasan pergerakan beberapa individu, iaitu ahli politik pembangkang dan aktivis hak asasi manusia merupakan satu lagi keputusan kerajaan yang sukar diterima.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen gagal memberitahu semua individu yang terlibat dalam hal ini, sebab keputusan itu diambil.

“Keputusan larangan perjalanan itu dibuat secara sewenang-wenang, tidak munasabah dan tidak seimbang, bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang negara, tetapi juga undang-undang dan norma hak asasi manusia antarabangsa.”

Beliau menggesa pihak berkuasa supaya segera menerangkan situasi berkenaan dan memberitahu mereka yang terlibat dalam larangan perjalanan.

Hasmy berkata, Jabatan Imigresen perlu memberi tempoh yang munasabah bagi mereka membuat rayuan kepada jabatan itu.

Beliau mengingatkan pihak berkuasa bahawa apa-apa tindakan perlu diambil mengikut undang-undang sedia ada dan tidak bertindak di luar peruntukan yang disediakan dalam Perlembagaan Persekutuan.