KUALA LUMPUR - Agensi pencegahan rasuah perlu berusaha lebih, untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai terhadap pihak berkuasa berkaitan.


Presiden Kesedaran Alam Sekitar Serantau Cameron Highlands (Reach), Ramakrishnan Ramasamy berkata, kemarahan orang ramai hanya boleh dikurangkan, jika dalang di sebalik penerokaan haram tanah ditangkap, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap beberapa petani sayur di tanah tinggi itu.

Menurut sumber SPRM, seramai 21 individu ditahan, selepas mereka menyogok RM163,577 kepada pegawai penguat kuasa yang ditugaskan di kawasan itu, susulan kejadian tanah runtuh tragis pada Oktober lalu yang meragut tujuh nyawa.

Beliau kesal dengan situasi terkini, apabila rasuah menjadi masalah sosial utama dan isu politik di Cameron Highlands selama beberapa dekad.

Perkara itu sekaligus mendapat perhatian semua pihak di negara ini, apabila berlakunya bencana tanah runtuh pada tahun lalu.

“Selepas tragedi itu, pihak berkuasa telah diberi keutamaan untuk kerja-kerja anti rasuah dalam agenda mereka dan mengukuhkan usaha anti rasuah dengan ‘membuang’ pekerja asing tanpa izin dari ladang-ladang.

“Tetapi sehingga kini, fenomena rasuah masih berleluasa dan buktinya adalah aktiviti penerokaan dan pembersihan tanah haram telah disambung semula.

“Rasuah dilihat sebagai sesuatu yang membimbangkan dan masalah kedua terbesar selepas alam sekitar, seperti pencemaran air dan hutan yang semakin berkurangan,” katanya kepada The Rakyat Post.

Beliau berkata, keupayaan atau ketidakupayaan pihak berkuasa, khususnya SPRM untuk mendakwa pesalah akan memainkan peranan utama dalam menentukan sokongan orang ramai untuk memerangi isu ini.

Februari lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, suruhanjaya itu memerlukan bantuan orang ramai untuk memerangi rasuah di Cameron Highlands.

Jelasnya, bagi memastikan sifar rasuah, orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau risikan mengenai aktiviti itu yang boleh membantu agensi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cawangan Cameron Highlands, Suresh Kumar berkata, petani ‘besar’ akan terus merasuah, jika tiada seorang pun daripada mereka ditangkap dan dikenakan hukuman.

“Tiadanya tindakan ke atas mereka oleh pihak berkuasa, menyebabkan kurangnya usaha memerangi rasuah.

“Sebagai contoh, tangkapan baru-baru ini dikhuatiri hanya satu kes ‘di luar, bukan di dalam’,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa sentimen orang ramai yang berpendapat pegawai rasuah juga mempunyai rangkaian hubungan peribadi dengan petani besar dan menjadi ‘payung perlindungan’ mereka.

Ini secara serius menghalang keupayaan agensi anti rasuah untuk menyiasat dan menangani rasuah secara bebas, kerana masyarakat berpendapat kerajaan perlu berusaha keras untuk memerangi amalan rasuah.