Sabtu, 18 Julai 2015

Penjara Kajang kini ‘bebas’ hantu?

Penjara Kajang kini ‘bebas’ hantu?
 
 
SERINGKALI kita dimomokkan bahawa kawasan seperti penjara, asrama, bangunan-bangunan lain-bangunan lama dan seumpama itu mempunyai penghuni lain selain manusia.
 
Maka tidak hairanlah sejak kecil kita ada mendengar mengenai kisah-kisah hantu di kawasan-kawasan lazim seperti disebutkan itu.
 
Namun pandangan penulis terhadap cerita-cerita itu seolah-olah berubah, apabila penulis ‘mengorek sendiri’ kisah mistik sebuah penjara menerusi orang kuat penjara di Penjara Kajang baru –baru ini.
 
“Dahulu memang ‘berhantu’, tetapi sekarang sudah tidak dengar dah kes-kes seperti diganggu atau diusik oleh makhluk halus di kawasan penjara,” demikian menurut Timbalan Penguasa Penjara Kajang, Mohd Noor Abu Bakar, 55, ketika diajukan mengenai perihal tersebut.
 
Ketika ditanya dengan lebih jelas punca penjara ‘bebas’ daripada gangguan tersebut, Mohd Noor berkata, pengisian keagamaan di kawasan tersebutlah membuatkan penjara Kajang bebas daripada gangguan.
 
“Zaman dulu penjara tidak banyak menyelitkan aktiviti keagamaan kepada banduan, berbeza sekarang kerana kami mempunyai program khas yang berbentuk keagamaan bagi mendidik banduan mendekati ALLAH SWT.
 
“Program itu dinamakan pemulihan diri,bermula pukul 9 pagi mereka akan beramai-ramai menunaikan solat Dhuha, Tahajud , Taubat… Selepas itu diikuti dengan amalan berzikir sehinggalah tengah hari (amalan ini dilakukan setiap hari) selain solat subuh berjemaah.
 
“Dan tidak setakat itu, kita juga memperkenalkan program 3T iaitu talaqi al-Quran, tahfiz dan tadarus…dan Alhamdulillah melalui program ini kita sudah lahirkan ramai hafiz al-Quran dalam kalangan mereka, ada yang sudah boleh menghafaz beberapa juzuk al-Quran, mereka ini dibimbing khas oleh para hafiz daripada Jakim,”  katanya kepada Sinar Harian Online.
 
Mohd Noor yang sudah 25 tahun berkhidmat dalam kerjaya ini berkata, dengan pelbagai pengisian keagamaan yang dibuat dilihat telah berjaya membentuk akhlak banduan.
 
“Itu buatkan penjara bukan lagi seperti penjara tetapi seolah-olah seperti sebuah ‘pondok agama’,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: