Rabu, 8 Julai 2015

Pendedahan WSJ: PKR akan saman SPR batalkan kerusi UMNO/BN

 
UMNO/BN didakwa menggunakan peruntukan melebihi jumlah maksima yang ditetapkan dan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.


izzah,saman,spr



PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memfailkan saman sivil terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencabar kesahihan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU13) di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO/Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan itu susulan dakwaan RM2.6 bilion atau USD700 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri sebagai dana pilihan raya BN.
Katanya, tindakan mahkamah ini akan menjadi pemangkin ke arah pembatalan kerusi-kerusi yang dimenangi oleh UMNO dan Barisan Nasional pada PRU13.

“Pun begitu, PKR juga bersedia mempertahan kerusi-kerusi yang dimenangi, sekiranya keseluruhan PRU13 dianggap tidak sah dan terbatal,” katanya menerusi kenyataan media.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, dia telah mengarahkan supaya laporan-laporan SPRM dibuat oleh kesemua wakil Jawatankuasa Pilihanraya Negeri PKR pada hujung minggu ini, untuk membolehkan saman terhadap SPR difailkan.

Katanya, jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan untuk kempen pilihan raya bagi setiap calon ialah RM200,000 (Parlimen) dan RM100,000 (Dewan Undangan Negeri) seperti mana yang diperincikan di bawah Seksyen 19, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Oleh itu, kata, sepatutnya jumlah maksima yang dibelanjakan untuk kesemua calon UMNO/BN bagi 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN berjumlah RM44.4 juta dan RM50.5 juta masing-masing.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM94.9 juta, jauh lebih rendah daripada jumlah yang didakwa digunakan oleh BN iaitu RM2.6 billion,” katanya.

Katanya, sejumlah RM2.6 bilion yang didakwa berada dalam akaun peribadi Perdana Menteri adalah 26 kali lebih daripada had perbelanjaan yang dibenarkan.

“Kami berharap akan memfailkan saman sivil ini secepat yang mungkin,” kata Nurul Izzah.


Tiada ulasan: