KUALA LUMPUR- Trend memakai jubah mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat terutamanya golongan lelaki yang ingin tampil segak dan penuh gaya.


Pelbagai jenis rekaan jubah serta warna dan saiz yang mengikut potongan bentuk badan mula membanjiri pasaran dan mendapat perhatian orang ramai.

Menurut pereka fesyen terkenal Malaysia, Ezuwan Ismail, jualan daripada koleksi peribadi miliknya sendiri mendapat sambutan sehingga mencecah 90 peratus berbanding koleksi baju melayu yang biasa.

“Kami ingin menggalakkan pemakaian jubah bukan sahaja pada hari raya namun pada hari kebiasaan juga kerana sifatnya yang senang dijaga, malah mudah untuk mengerjakan solat.

“Rekaan terkini jubah lebih mengetengahkan gaya kontemporari moden, di mana jubah direka mengikut potongan bentuk badan si pemakai,” kata beliau ketika dihubungi The Rakyat Post.

Ezuwan juga menjelaskan bahawa budaya pemakaian jubah seperti negara Arab itu tidak salah kerana pada awalnya, budaya kita juga memperaktikan pemakaian jubah cuma ianya lebih berupa tradisional.

“Tidak salah untuk kita mempraktikan budaya Arab di sini kerana pemakaian jubah itu sendiri adalah Sunnah Rasulullah yang patut diikuti.

“Dengan gaya yang lebih moden dan santai, jubah kini mampu menarik minat golongan muda seperti lelaki untuk memilih jubah,” tambah beliau.

Ezuwan antara pereka terawal yang mereka jubah lelaki menepis kenyataan apabila dikatakan jubah lelaki hanya ingin menunjukkan bentuk badan lelaki dan tidak mempunyai ciri-ciri jubah yang sepatutnya.

“Potongan mengikut potongan badan atau ‘slim fit’ adalah untuk keselesaan si pemakai. Jubah direka kecil di bahagian dada adalah untuk menampilkan ketinggian si pamakai, manakala saiz kembang dibawah adalah untuk kesenangan ketika berjalan.

“Jubah yang direka masih mengikut ciri-ciri tradisional, potongan ‘slim fit’ bukanlah bermakna ketat tetapi lebih berfungsi sebagai pakaian yang senang dibawa solat selain daripada jenis material yang digunakan,” ujar beliau.