Sabtu, 4 Julai 2015

Peguam Negara lihat dokumen siasatan 1MDB

MALAYSIAKINI


 


Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan beliau melihat laporan siasatan mengenai dakwaan pemindahan dana 1MDB ke akaun bank perseorangan Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan beliau hari ini, Abdul Gani berkata, ia adalah antara dokumen yang diambil pasukan petugas khas bagi menyiasat isu 1MDB.

"Pasukan ini (pasukan petugas khas) telah memperoleh beberapa dokumen yang kemudiannya dikemukakan kepada saya untuk semakan. Saya mengesahkan bahawa saya telah menerima dokumen-dokumen berkaitan 1MDB termasuk dokumen berkaitan dakwaan penyaluran dana ke akaun milik YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak daripada Pasukan Petugas Khas ini.

"Sehubungan itu, saya telah meneliti dan menyemak kesemua dokumen yang dikemukakan, dan seterusnya telah memberi nasihat dan panduan kepada pasukan petugas khas ini bagi mengambil tindakan lanjut.

"Saya juga mengesahkan bahawa pada 3 Julai 2015, pasukan petugas khas ini telah menghantar pasukan siasatan ke syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd untuk mengadakan serbuan dan telah memperoleh dokumen dari ketiga-tiga premis terbabit," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Gani tidak menjelaskan butiran lanjut dokumen yang dimaksudkan.

Katanya, siasatan akan ditumpukan kepada setiap aspek yang dibangkitkan

Semalam Wall Street Journal membuat laporan mengejutkan mengenai dapatan penyiasat yang mengaitkan pengaliran dana hampir AS$700 juta ke akaun persendirian "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak".

Selepas Najib memberikan penjelasan mengenainya hari ini timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menggesa perdana menteri membuat pengesahan atau penafian meyakinkan berhubung kewujudan akaun berkenaan.


Tiada ulasan: