Rabu, 15 Julai 2015

PAS Selangor perlukan DAP dan PKR untuk tadbir negeri

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sallehen Mukhyi meminta PAS Pusat mencari pendekatan baru untuk memimpin Selangor tanpa DAP.
 
Meskipun Majlis Ulamak PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP, hakikatnya parti itu memerlukan parti dominasi Cina itu dan PKR dalam mengurus tadbir Selangor. 
 
"Dalam konteks Selangor kita serahkan kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat bagi menentukan mekanisme. Buat masa sekarang kerja kita tiada masalah dan masih berjalan seperti biasa," katanya yang dipetik The Malaysian Insider.
 
Katanya, pada masa sama PAS juga bergantung kepada PKR dan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali menyediakan 'keselesaan' kepada parti itu untuk meneruskan hubungan atas nama ‘kerajaan'.
 
"Sekarang ni apa-apa pun ia bergantung kepada PKR sejauh mana keselesaan itu dan PKR juga boleh teruskan hubungan dengan DAP mentadbir negeri seperti biasa," katanya.
 
Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengumumkan baru-baru ini keputusan untuk menamatkan tahaluf siyasi dengan DAP kerana sering membuat provokasi dan campur tangan hal dalaman PAS, pada masa sama ingin kekal bekerjasama dengan PKR.
 
Usul pembatalan kerjasama politik antara PAS dan DAP diluluskan pada Muktamar PAS Kali ke-61, pada awal Jun lalu.
 
Ia berikutan serangan berterusan daripada parti cauvanis itu terhadap beberapa perjuangan PAS, termasuk hudud serta kecaman terhadap Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 
 
ADUN Sabak itu berkata, DAP juga perlu mengemukakan cara untuk bertindak sebagai sebuah kerajaan kerana mereka terlebih awal mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur.
 
"Secara realitinya tidak mengejutkan kerana DAP ambil keputusan tidak terima Pakatan Rakyat (PR) lagi.
 
"Jadi sepatutnya DAP yang perlu kemukakan pendekatan kalau tiada PR bagaimana cara hendak bertindak sebagai kerajaan Selangor.
 
"Untuk PAS kita akan berbincang dengan pusat bagaimana menangani daripada segi perjalanan teknikal," katanya.
 
Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad dalam respons sebaliknya berkata, PAS negeri itu akan teruskan kerjasama dengan DAP sementara menunggu arahan rasmi Pusat.
 
Iskandar yang juga naib presiden PAS berkata, hubungan itu perlu diteruskan demi menjaga amanah yang diberikan rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
 
 

Tiada ulasan: