Sabtu, 4 Julai 2015

Mara Inc: Beri jawapan kepada rakyat bukan saya

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
 
 
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata beliau tidak terkilan sekiranya Pengerusi Majlis Amanah Raya (Mara), Tan Sri Annuar Musa enggan menjawab persoalannya mengenai skandal pembelian hartanah di Australia dan United Kingdom.
 
Sebaliknya beliau berkata, rakyat perlu mengetahui sejauh mana pendedahan-pendedahan yang dilaporkan akhbar Australia dan NGO National Oversight and Whistleblowers (NOW) yang diwakilinya itu berasas atau sebaliknya.
 
“Kalau dia kata ini tidak menjawab kepada saya, itu tidak penting kerana saya yakin ramai rakyat tahu, setakat ini hanya setelah pendedahan-pendedahan penyelewengan dibuat, barulah kerajaan ambil tindakan.
 
“Kalau dia kata tidak menjawab kepada saya, rakyat tahu dia menjawab kerana pendedahan yang kami buat,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Annuar semalam yang menggesa Rafizi menemuinya terus di Parlimen jika ingin mengetahui secara jelas mengenai isu melibatkan pembelian hartanah oleh agensi kerajaan itu.
 
 
Dalam pada itu, Rafizi turut mencurigai pelawaan Annuar itu kerana sikap yang ditunjukkan Ahli Parlimen Ketereh itu setiap kali dalam sidang Dewan Rakyat tidak membantu.
 
“Kalau tengok prestasinya di Parlimen, dia tidak berminat untuk berbahas dengan baik kecuali memanggil nama yang buruk-buruk.
 
“Dia ahli Parlimen terkenal dengan mulut yang hodoh sebenarnya, jadi bagi saya kalau dia nak bercakap soal kena bercakap di Parlimen, ataupun semua di Parlimen, dia kena buktikan iaitu dia seorang ahli Parlimen yang beradab dahulu. Tapi saya tidak nampak begitu,” ujarnya.
 
Beliau berkata lagi, sepatutnya Annuar perlu bersikap terbuka dan berlapang dada untuk memberi maklumat dan menjawab berhubung skandal urus niaga hartanah itu.
 
“Apabila dia menyebut begitu, dia nampak seperti cuba mengelak sedangkan rakyat keseluruhannya tahu kalau tidak kerana pendedahan yang kami buat setakat ini, bersama juga laporan di Australia, sudah tentu Mara tidak akan ambil tindakan.
 
“Mara sudah tidak ada jawapan untuk menangkis atau menafikan maklumat yang kami tunjukkan itu, maka dia terpaksa ambil tindakan gantung dua pegawai tertingginya,” katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: