KUALA LUMPUR- Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) menyeru individu yang terlibat dalam kes pergaduhan di Low Yat supaya tidak meneruskan pergaduhan dan menaruh dendam.


Presidennya, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata perkara itu tidak harus dipanjangkan malah perlu diserahkan kepada pihak polis untuk menyiasat secara terperinci.

Jelasnya, tindakan segelintir individu yang meyerbu premis berkenaan dilihat tidak kena dengan nilai muhibah di negara ini lebih-lebih lagi ia berlaku pada bulan Ramadan.

Malah katanya ia juga boleh menyumbang kepada kemudaratan kepada orang ramai sekali gus menjurus kepada isu perkauman.

“Saya pernah ditipu malah bernilai puluhan ribu ringgit disebabkan pembeli dan penjual menipu dan mencuri, mereka daripada pelbagai bangsa, justeru saya sangat faham perasaan kemarahan apabila ditipu.

Menurutnya, pergaduhan itu juga dibimbangi boleh mencetuskan keadaan yang lebih buruk dan menjadi isu perkauman jika perkara itu berpanjangan meskipun ia hanya melibatkan penjual dan pembeli pada asalnya.

Ini kerana, katanya perkara itu seharusnya diselesaikan antara mereka dan tidak perlu melibatkan banyak pihak sehingga tercetusnya ketegangan kaum.

“Namun berkumpul ramai dan tindakan menyerbu Low Yat semalam adalah tidak wajar malah berpotensi membawa mudarat awam khususnya melibatkan ‘ketegangan antara kaum’

“Cukuplah dengan apa yang telah berlaku dan berhentilah daripada terus ingin ‘menyerbu’ Low Yat.

“Malah jika benar mereka kerap menipu, boikotla sahaja. Bagi mangsa penipuan, laporlah kepada polis dan buat tuntutan di Tuntutan Tribunal Malaysia jika nilainya di bawah RM25,000.

Insiden kekecohan di Plaza Low Yat, Bukit Bintang pada Sabtu berpunca daripada perselisihan faham dalam urus niaga pembelian telefon bimbit.