Selasa, 7 Julai 2015

'Jangan beri muka' kepada peniaga asing

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan
 

KERAJAAN digesa memandang serius isu lambakan peniaga asing yang memonopoli beberapa lubuk rezeki perniagaan sekitar Lembah Klang terutama menjelang musim perayaan.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, agensi berwajib perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, kemungkinan terdapat peniaga warga asing tidak mempunyai lesen atau menyalahgunakan permit atas nama warga tempatan.

“Dari dulu, Ikhlas memandang serius perkara ini. Kebanjiran peniaga asing ‘membunuh’ rezeki peniaga tempatan.

"Tahun lepas bila kita suarakan isu ini, jumlah mereka berkurangan tetapi tahun ini nampak jumlah peniaga asing sama ada penjaja atau di kedai meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu gazetkan hanya orang tempatan dibenarkan menjalankan perniagaan jenis bermusim terutama bulan Ramadan dan menjelang perayaan.

“Kalau boleh kita tak mahu tengok peniaga warga asing yang mengaut keuntungan lumayan pada bulan Ramadan, tak nak dengar alasan perlu guna pekerja warga asing dan sebagainya,” katanya.

Beliau memberitah ada menerima aduan terdapat warga asing sanggup menyewa premis dengan harga tiga kali ganda daripada pemilik tempatan.

Akibatnya, peningkatan jumlah peniaga asing boleh dilihat di merata-rata kedai terutama di Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Masjid India dan Lorong TAR.

“Hampir 4.5 juta warga asing berada di negara ini, kebanyakan mereka mencari rezeki dengan  berniaga. Kerajaan perlu cari jalan elak sesuatu tempat tu dimonopoli warga asing,” katanya.


Tiada ulasan: