KUALA LUMPUR-  Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyesali kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dianggap PAS tidak membantu memulihkan imej negara sebaliknya mempunyai unsur sabotaj ekonomi negara.


“Amat dikesali apabila seorang Ketua Polis Negara menyatakan PDRM akan menyiasat, siapa dan bagaimana kebocoran maklumat beserta dokumen yang diperoleh oleh Wall Street Journal (WSJ), sedangkan kenyataan itu tidak membantu memulihkan imej negara.

“Sebaliknya kenyataan itu menambahkan lagi rasa tidak percaya masyarakat antarabangsa kepada negara apabilan PDRM yang sepatutnya menjaga kepentingan rakyat dan negara dilihat cuba untuk melindungi jenayah yang dilakukan oleh pembesar negara, malah mempunyai unsur sabotaj ekonomi negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru bagi menjamin integriti  pasukan khas penyiasatan serta nama baik negara, beliau mendesak Khalid dikeluarkan daripada pasukan khas penyiasat dan dilucutkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara.

Pasukan Petugas Khas itu diketuai oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis menyiasat akhbar perniagaan WSJ mengikut Akta Jenayah Komputer berhubung kebocoran dokumen berhubung dakwaan WSJ bahawa terdapat dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tiga syarikat yang diserbu itu ialah SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Pasukan Petugas Khas berkenaan mengumumkan enam akaun bank telah diarah dibekukan.