Sabtu, 11 Julai 2015

Inilah ikrar Tok Him presiden PERKASA...

MALAYSIAKINI




 
 
 
PERKASA berkata mereka menerima kekalahan dalam kes saman fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dengan hati terbuka.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata beliau menghormati keputusan mahkamah tetapi mempertikaikan golongan lain yang melanggar undang-undang tetapi tidak dituduh ekstrimis.

“Kita akan berjuang mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan. Kita bukan berjuang atas nama demokrasi dan hak asasi manusia semata-mata seperti setengah golongan.

“Mereka langgar undang-undang tetapi tidak dituduh ekstremis. Ada pesalah baling kepala babi dalam masjid di Pulau Pinang pun hanya didenda tiga bulan penjara,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman fitnah PERKASA terhadap Joseph Kurup (gambar) kerana memanggil “kumpulan ekstrimis”.

Hakim berkata PERKASA sebagai organisasi tiada locus standi untuk memfailkan saman selain memutuskan kata-kata yang digunakan oleh Kurup tidak berunsur fitnah.

PERKASA dalam pernyataan tuntutannya berkata Kurup mahu mengatakan pertubuhan itu menggunakan agama untuk memprovokasi keganasan yang tidak sepatutnya wujud di negara ini.

NGO itu juga berkata Kurup menggambarkan PERKASA menentang nilai-nilai terkandung dalam perlembagaan serta mencetuskan ketakutan dan perpecahan di orang ramai.

Dalam kenyataannya hari ini, Ibrahim berkata walau apa pun tuduhan diterima, rekod PERKASA “bersih” dan mereka akan terus lantang mempertahankan hak bumiputera dan melindungi Islam sebagai agama persekutuan.

“Insya-Allah atas apa jua rintangan, halangan dan cabaran, inilah ikrar presiden PERKASA Tok Him (Ibrahim),” katanya. 
 
 
 

Tiada ulasan: