Sabtu, 25 Julai 2015

BigBang: Ambil iktibar kes dipeluk artis K-Pop

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi
 
 
SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) membantah penganjuran konsert 'BigBang 2015 World Tour Made in Malaysia' yang dijadualkan berlangsung pada hari ini, bermula jam 6.00 petang di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bantahan ini adalah amat patut lebih-lebih lagi apabila pihak penganjur, IME Production dengan bangganya turut mengadakan satu konsert tambahan oleh kumpulan berkenaan semalam.

"Konsert ini  difahamkan mencatatkan rekod penganjuran yang termahal bagi siri 'Made World Tour. Dilaporkan bahawa kos penyediaan pentas yang akan digunakan oleh BigBang sahaja sudah mencecah RM1 juta. Harga tiket pula dijual pada harga RM288 hingga RM798 mengikut enam kategori berbeza.

"DPPM juga melahirkan kekecewaan kerana konsert ini disokong oleh Malaysia Major Events iaitu merupakan sebuah bahagian di bawah Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC)," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Khalil berkata sebagai mewakili kerajaan, sewajar dan sepatutnya pihak kementerian mengawal industri hiburan dan mendidik rakyat dengan budaya hiburan yang tidak melalaikan atau merosakkan.

"Sekurang-kurangnya insiden beberapa gadis Melayu bertudung dipeluk dan dicium dahi oleh penyanyi K-pop dari kumpulan B1A4 dalam satu konsert yang diadakan pada awal tahun ini dijadikan pengajaran penting supaya ia tidak lagi berulang.

"Dalam keadaan negara menghadapi masalah dalam segenap sektor politik, ekonomi dan sosial, maka adalah amat buruk dan hodoh sekali apabila Kerajaan mengajak rakyat untuk berhibur sakan. Kita pula masih berada dalam bulan Syawal dan penganjuran konsert ini telah mencemarkan kemuliaan bulan ini," katanya.


Tiada ulasan: