MALAYSIAKINI
Umno Selangor akan terus bersedia dengan apa saja kebarangkalian
berhubung kemelut tidak berkesudahan di negeri Selangor, kata
Pengerusinya, Datuk Seri Noh Omar.
Katanya, ia termasuk pilihan raya semula, pemilihan menteri besar baru,
usul undi tidak percaya mahupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih
memegang jawatan berkenaan.
Noh berkata belum pun selesai krisis air, Khalid yang juga wakil rakyat
Pelabuhan Klang itu dihimpit pula dengan kemelut perebutan jawatan
menteri besar yang disandangnya namun ini dilihat semata-mata sebagai
gimik politik untuk menarik semula perhatian rakyat kepada Pakatan.
Baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah
mengemukakan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat
pada 20 Julai lepas, cadangan mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Khalid.
"Pakatan Rakyat kini mulai longgar dan lemah, jadi isu-isu sebegini
sengaja dimainkan untuk tarik balik perhatian rakyat, namun kita tunggu
dan lihat kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku.
"Pada saya, Abdul Khalid perlu ambil kesempatan ini untuk jelaskan
kepada rakyat mengapa beliau diberi tekanan hebat dari pelbagai sudut
oleh partinya sendiri iaitu PKR sedangkan PAS menyokong beliau kekal
sebagai MB," katanya pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri
Parlimen Tanjong Karang semalam.
Menurut Noh lagi, tindakan Khalid memeterai Perjanjian Dasar Induk
dengan kerajaan persekutuan berhubung penstrukturan semula industri air
di negeri itu pada hari Jumaat adalah sebagai satu langkah tepat.
Katanya, walaupun Abdul Khalid terus diberi tekanan hebat pemimpin
Pakatan namun tindakan tersebut memperlihatkan kesedaran beliau untuk
mendahulukan rakyat.
"Abdul Khalid kini sudah berani untuk tandatangani perjanjian air dengan
kerajaan persekutuan, namun apa yang kita minta beliau juga perlu
berani dedahkan mengapa pemimpin Pakatan masih berkeras mahu
menjatuhkannya," katanya.
Jumaat lepas, Abdul Khalid yang mewakili kerajaan Selangor
menandatangani perjanjian tersebut, memberi jaminan kadar tarif air di
Lembah Klang tidak akan dinaikkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan