Skuad badminton negara, tanpa kehadiran
pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, wajar muncul skuad terbaik
kontinjen negara pada Sukan Komanwel, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan
Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.
"Skuad badminton negara wajar diberi pujian kerana mereka berjaya
mencapai sasaran tiga pingat emas di sini. Perjuangan untuk mendapatkan
pingat emas yang sukar.
"Pasukan beregu wanita terpaksa bersaing dengan beregu India yang lebih
konsisten dalam persaingan di sini. Bermula dengan saingan berpasukan
campuran, mereka mungkin tidak berpeluang mara ke perlawanan akhir jika
tewas kepada Singapura dalam separuh akhir," katanya kepada pemberita
Malaysia di Glasgow, pada Ahad.
Namun, beliau kecewa dengan prestasi pemain-pemain senior yang gagal menunjukkan prestasi terbaik di Glasgow.
"Ketiadaan Chong Wei memang dirasai dan banyak pengaruh di sini. Saya
amat kecewa dengan prestasi beberapa pemain senior. Saya ada menghantar
SMS kepada Tengku (Tan Sri) Mahaleel (Tengku Ariff - presiden Persatuan
Badminton Malaysia (BAM)) untuk mengatasi masalah ini dengan segera
sebelum ke Incheon, Korea Selatan (Sukan Asia pada September ini).
"Saya akan duduk sekali dalam mesyuarat JKK badminton dan akan tengok
apakah perancangan BAM selepas ini. Saya pun nak melihat aspek
kejurulatihan secara menyeluruh," katanya.
Selain acara badminton, Zolkples melihat acara sukan terjun dan angkat berat berjaya mencapai sasaran masing-masing.
Selepas 11 hari bersaing pada edisi ke-20 Sukan Komanwel, Malaysia
berada pada kedudukan ke-12 dengan meraih enam pingat emas, tujuh perak
dan enam gangsa.
Bagaimanapun, pencapaian kali ini tidak berjaya mencapai sasaran tujuh
pingat emas oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan dipersetujui oleh
Menteri Belia dan Sukan.
"Dalam sesetengah acara yang dipertandingkan di sini, standard
pertandingan adalah begitu tinggi dan beberapa faktor tertentu seperti
yang saya pernah katakan sebelum ini," katanya.
Beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan beberapa acara sukan yang
gagal menyerlah di Sukan Komanwel Glasgow seperti boling padang dan
menembak.
"Kita mempunyai peluang untuk meraih pingat emas dalam kedua-dua jenis
sukan ini. Kita menyediakan peruntukan yang besar untuk persediaan
mereka.
"Sepatutnya mereka mampu menghasilkan pingat emas, khususnya daripada
kalangan atlet-atlet senior yang berpengalaman bersaing dalam banyak
temasya sukan besar," katanya.
Zolkples turut mahu melihat pada temasya yang sama empat tahun lagi,
perlu memberi peluang kepada jenis-jenis sukan yang mampu menghasilkan
pingat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan