Pemuda PAS mendesak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan butiran dokumen yang didakwa mempunyai rancangan pembangkang untuk menggagalkan pilihan raya melalui keadaan porak-peranda.

riduan mohd nor"Sekiranya beliau gagal mengemukakan bukti bahawa ada usaha Pakatan Rakyat untuk mencetuskan suasana porak peranda, Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mendesak pemimpin Pakatan mengemukakan saman fitnah terhadap beliau," kata ketua penerangannya Riduan Mohd Nor.

Bernama semalam melaporkan Muhyiddin sebagai mendedahkan rancangan pembangkang untuk menggagalkan pilihan raya umum ke-13 dengan mewujudkan keadaan porak-peranda di negara ini.

Beliau dilapor sebagai berkata, daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk berbuat demikian kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat.

Dalam kenyataannya, Riduan menyifatkan tuduhan Muhyiddin "terlalu berat, fitnah dan serta berunsur hasutan" terhadap Pakatan Rakyat dan boleh menimbulkan ketegangan dan kegelisahan serta mencetuskan suasana panik dan pelbagai penafsiran oleh masyarakat.

"Apakah TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan implikasi yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat khususnya pemimpin Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau?

"Apa akan jadi sekiranya masyarakat negara ini benar-benar mempercayai kenyataan beliau dan akan terus mengambil langkah negatif terhadap PR seperti membuat provokasi atau tindakan-tindakan ganas yang lain?

NONE"Apakah tidak mungkin terjadi kenyataan beliau menyebabkan rakyat menjadi semakin takut untuk menghadapi pilihanraya serta tidak mahu turun mengundi kerana takutkan sesuatu yang bakal terjadi?" soal Riduan.

Riduan mendakwa timbalan perdana menteri sengaja menambah marak api permusuhan dan ketakutan kepada rakyat dalam suasana negara sedang diancam masalah keganasan dan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Tegasnya, sepatutnya Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi Umno itu mententeramkan rakyat dan memberi dorongan supaya rakyat dapat bersama-sama menyuburkan demokrasi di negara ini.

"Pilihan raya adalah suatu proses yang mesti disertai oleh semua rakyat dan ia pula melibatkan parti-parti politik yang bertanding bagi menentukan kepimpinan negara.

"Kenyataan beliau akan memberi reputasi yang buruk ke atas Pakatan dan pemimpinnya dan menjadi kempen buruk terhadap Pakatan serta penyokongnya," katanya sambil menganggap Muhyiddin menghina jutaan rakyat yang memilih pemimpin dan parti politik pilihan mereka.

Sehubungan itu, Riduan mendesak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya mengambil tindakan ekoran kenyataan pemimpin nombor negara itu.