Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak mahu menuntut gantirugi dalam bentuk wang tunai dari bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan walaupun kenyataan Ahmad Said menyebabkan kerosakan reputasi yang besar kepadanya, keluarganya dan kedudukannya sebagai menteri besar Selangor.

"Saya tidak mahu wang pembayar cukai digunakan bagi membayar gantirugi  itu memandangkan saman terhadap Ahmad Said dibuat atas kapasiti beliau sebagai penjawat awam yang juga defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

 "Atas alasan ini juga, saya memutuskan untuk mengenakan kos yang minima ke atas kes ini," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Said memohon maaf di mahkamah terbuka, kepada menteri besar Selangor itu berhubung kenyataan yang dibuatnya pada 2009.

Peguam Sankara Nair (kiri), yang mewakili Abdul Khalid berkata kerajaan dan Ahmad Said telah bersetuju untuk menyiarkan permohonan maaf itu dalam dua akhbar yang telah melaporkan kenyataan Ahmad Said itu.

'Saya memahami kedudukan Datuk Seri Ahmad Said Hamdan selaku pegawai kanan kerajaan dan menerima penjelasan beliau bahawa ketika mengeluarkan kenyataan  tersebut beliau bertindak atas kapasiti sebagai Pesuruhjaya SPRM," kata Abdul Khalid dalam kenyataan itu.

Menyedari hakikat ini,  katanya, beliau menerima tawaran permohonan maaf secara terbuka di mahkamah  serta menyiarkan teks permohonan maaf tersebut di akhbar The Star dan New Straits Times kerana dua akhbar ini  telah menyiarkan kenyataan Ahmad Said yang menjadi asas kepada tuntutan samannya.

"Saya berpandangan setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk hidup dengan selamat dan terjamin dari segi keselamatan diri, maruah dan harga diri seperti  yang termaktub  dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Hak ini hendaklah dihormati oleh setiap warga negara jika kita mahu menjadi bangsa Malaysia yang bertamadun," tegas Abdul Khalid.

1. MB S'gor terima permohonan maaf bekas ketua SPRM