Ahad, 3 Mac 2013

Siasat Menyeluruh 'Pencerobohan' Sempadan; Hukum Pengkhianat Negara!

Wartawan Buletin

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/solat%20jenazah%20komando.jpgBESUT - PAS mendesak satu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap sistem keselamatan sempadan negara berkait kes ‘pencerobohan’ yang dilakukan oleh kumpulan pengikut Sultan Sulu yang berlaku sejak tiga minggu lalu.

Menurut Yang DiPertua PAS Besut, Ustaz wan Azhar wan Ahmad, tidak ada kompromi kepada isu keselamatan negara, bahkan jika terbukti ada mana-mana pihak yang terlibat atau pun cuai dalam menguruskan pintu masuk negara,  tindakan segera perlu diambil.

Katanya, hukuman setimpal dengan 'pengkhianatan' yang dilakukan kerana menggadai maruah negara, sekali pun yang terbabit adalah mereka yang pemimpin kerajaaan yang memeritah hari ini.

“Kita (PAS) sangsi dan khuatir dengan tragedi pencerobohan oleh ‘tentera Sultan Sulu’ boleh masuk tanpa disedari oleh pihak keselamatan negara.

“Sebab, kerajaan (Malaysia) telah menyediakan peruntukan besar kepada Kementerian Pertahanan untuk tujuan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Ini (kejadian) memalukan rakyat dan negara di mata dunia,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah anggota komando Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Inspektor Zulkifli Mamat di rumah ibunya di Kampung Kubang Ikan, Kota Putra, Besut petang tadi.

Sehubungan itu, PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat,29, yang terkorban dalam peristiwa tembak menembak pada pagi Jumaat, di Lahad Datu, Sabah.

Yang Dipertua Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata PAS turut bersedih dan sangat bersimpati dengan kejadian itu serta berharap agar ahli keluarga allahyarham bersabar dengan ujian Allah SWT.

Beliau yang juga anggota Perhubungan PAS Terengganu mendoakan agar roh Allahyarham Zulkifli  dan rakan setugasnya yang turut terkorban dicucuri rahmat serta mendapat pahala yang besar di sisi Tuhan.

“Saya bagi pihak PAS kawasan Besut dan kepimpinan PAS Terengganu khususnya ucap takziah kepada ahli keluarga allahyarham Zul (Zulkifli) dan bersabarlah dengan ujian (takdir) ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan dianugerahkan pahala yang besar, Insya’Allah,” ujarnya.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/jenazah%20komando.jpgHadir sama menziarahi jenazah allahyarham Zulkifli iaitu Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kota Putra, Ustaz Adam Said dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Beliau turut merasa bimbang dengan dakwaaan bahawa peristiwa tuntutan waris ‘Kesultanan Sulu’ itu mempunyai kaitan dengan pengeluaran projek member kad pengenalan keada warga asing dari Filipina tersebut.

Namun beliau menegaskan, adalah menjadi perkara utama kepada Pakatan Rakyat tentang isu keselamatan dan kedaulatan negara Berjaya sekiranya diberi mandat memerintah negara.

Sebelum itu, jenazah allahyarham yang tiba kira-kira jam 3.15 petang disambut oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang turut dihadiri oleh Ustaz Wan Azhar bersama beberapa orang pimpinan PAS Besut di Pengkalan Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, Besut.

Sekitar jam 4.00 petang jenazah allahyarham Zulkifli tiba di kampung halamannya dan disembahyangkan kira-kira 100 orang jemaah secara bergilir-gilir yang diimamkan oleh Pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling IPD Besut, Mohd Sabri Harun.

Manakala, selepas itu jenazah berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Bayor, kira-kira 800 meter dari rumah ahli keluarganya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Nor Aziah Nor, 28, dengan dua orang anak berusia satu tahun dan lima tahun serta sedang mengandung dua bulan.

Tiada ulasan: