Rabu, 13 Mac 2013

Rafizi dedah cek & resit bayaran berkaitan rasuah balak Terengganu

Oleh Aliff Fikri

PETALING JAYA : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan bukti berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam pengurusan balak Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Pada sidang media hari ini, Rafizi menunjukkan bukti cek dan resit bayaran daripada syarikat yang terpaksa membayar deposit kepada penama yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.

Bukti cek berkenaan yang didedah Rafizi hari ini
Bukti dokumen cek yang didedah Rafizi hari ini

Mengikut dokumen yang dibekal Rafizi, cek melalui Maybank bertarikh 28 Disember 2011 itu tertera bayaran deposit sebanyak RM1 juta kepada penama – Arshad Azhari & Associates, syarikat dipercayai berhubung kait dengan Umno BN.

27 Februari lalu, Rafizi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendedahkan skandal melibatkan satu modus operandi menggunakan sebuah syarikat yang diberi kelulusan membalak oleh kerajaan negeri.

“Dua minggu lalu, saya dan Dr Syed Azman mendedahkan modus operandi bagaimana syarikat-syarikat yang ingin turut serta dalam tender mengeluarkan hasil balak dipaksa untuk membeli syarikat proksi yang hanya mempunyai saham RM2 pada harga RM2.5 juta untuk dipertimbangkan permohonan.

“Hari ini saya tampilkan bukti bagaimana sebuah syarikat yang menjadi mangsa terpaksa membayar deposit sebanyak RM1 juta kepada Arshad Azhari & Associates, syarikat yang terlibat dalam urusniaga pembelian saham,” kata Rafizi sambil menunjukkan kedua-dua salinan dokumen tersebut di ibu pejabat parti.

Menurut Rafizi, penyelewengan pengurusan hasil balak di Terengganu ini telah melalui proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau turut menunjukkan dokumen rasmi SPRM yang mengesahkan kes tersebut telah disiasat badan itu.

rAFIZI

“SPRM mengesahkan kes ini disiasat, tapi sehingga sekarang tiada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran jelas dan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan hasil balak.

“Saya juga tidak mendapat sebarang maklum balas dari Ahmad Said mengenai skandal ini,” kata Rafizi.
Difahamkan projek membalak tersebut diluluskan Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan Negeri pada 17 Julai 2012 yang dipercayai dipengerusikan Ahmad, melibatkan kawasan seluas 405 hektar di Hutan Simpan Hulu Setiu.

Namun, pada 28 Disember 2011 – enam bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan, satu perjanjian dimeterai supaya syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat proksi yang hanya mempunyai saham berbayar RM2.

Wang jualan itu disyaki disalurkan kembali kepada individu tertentu yang berpengaruh menentukan hak membalak kepada syarikat terbabit. – NS

Tiada ulasan: