Selasa, 5 Mac 2013

PRU13: SPR ada pelan kontigensi untuk Sabah

M JEFFRI RAZALI

Tan Sri Abdul Aziz Yusof

 
BANDARAYA MELAKA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada  pelan tindakan kontigensi bagi menjalankan pilihan raya umum di Sabah sekiranya masalah keselamatan di negeri itu berlanjutan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR mempunyai prosedur tertentu mengikut undang-undang sedia ada bagi menghadapi kemungkinan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan pelan tindakan berkenaan apabila ditanya media.

“Saya akan sebut perkara itu kemudian. Kita tidak perlu membuat sebarang spekulasi tidak baik (mengenai aspek keselamatan di Sabah). 

“Kita memang ada pelan kontigensi. Undang-undang sudah ada. Jika ini berlaku, ini caranya... jika itu berlaku, begitu caranya,” kata beliau kepada media selepas sesi taklimat ulangan kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus pilihan raya Melaka dan Negeri Sembilan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang mungkin diambil SPR sekiranya pilihan raya diadakan sedangkan aspek keselamatan di beberapa kawasan di Sabah masih bergolak.

Abdul Aziz berkata, beliau yakin pasukan keselamatan yang terdiri dari polis dan tentera akan dapat mengatasi masalah keselamatan di Sabah dengan segera, sekali gus membolehkan proses pilihan raya dijalankan dengan aman dan lancar.

Beliau turut berharap pasukan keselamatan akan membantu SPR dalam menjaga dan memastikan keselamatan pengundi-pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

“Kepada pengundi-pengundi di Sabah, jangan risau atau takut untuk menjalankan tugas serta tanggungjawab masing-masing nanti,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Aziz turut mengingatkan semua parti politik supaya tidak mempolitikkan isu keselamatan negara seperti apa yang berlaku di Sabah untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Pada pandangan saya, parti politik perlu bersatu dalam hal seperti ini. Saya fikir keselamatan negara serta ketenteraman awam perlu diutamakan,” katanya.

Tiada ulasan: