Selasa, 19 Mac 2013

Pakatan mahu PM jawab isu video keluarga Taib Mahmud

RUZY ADILA IDRIS

Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab pendedahan sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, melalui video, yang mendakwa ahli keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan rakannya berkenaan industri pembalakan di negeri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dalam memimpin sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, adalah mustahil bagi Najib boleh berdiam diri dalam isu ini.

"Beliau mesti memberi ulasan mengapa perkara ini dibiarkan ataupun tidak mengambil beberapa tindakan segera.

"Kami berharap perdana menteri memberi respons segera mengenai perkara ini," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Anwar mendakwa, perkara itu adalah serius memandangkan badan antarabangsa telah meneliti akaun, beberapa penyalahgunaan kuasa dan jumlah dana yang dikumpulkan oleh Taib serta keluarganya.

"Najib tidak boleh diam diri selepas beliau banyak mendiamkan diri terutamanya selepas beliau mendiamkan diri berkaitan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pencerobohan di Lahad Datu.

"Ini adalah isu yang akan membuatkan pihak pembangkang akan terus ketengahkan," katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula membidas kerana Najib tidak mengotakan janji untuk menukar Ketua Menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri 2011.

"Kegagalan Najib berbuat demikian membuktikan beliau seorang pemimpin yang gagal mengotakan janji.

"Apa yang berlaku sekarang, menunjukkan Taib lebih berkuasa daripada perdana menteri termasuk bekas perdana menteri yang pernah perintah negara selama 22 tahun," katanya

Tiada ulasan: