Isnin, 11 Mac 2013

Minggu Depan: Ringgit Diunjur Lebih Rendah Berbanding Dolar AS

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR-- Ringgit berkemungkinan diniagakan lebih rendah sedikit berbanding dolar AS minggu depan kerana tanda-tanda pemulihan ekonomi AS dijangka memberikan sokongan kepada mata wang Amerika itu, kata peniaga.

Purata Perusahaan Dow Jones, pengukur pasaran saham AS, mencatatkan rekod ketinggian dalam minggu ini dengan disokong oleh pasaran kerja AS yang lebih baik.

"Dalam jangka pendek, ringgit lemah, tetapi dalam jangka panjang ia dijangka kukuh dengan prospek ekonomi yang lebih baik di AS dan China," kata seorang peniaga.

Ringgit, yang turun ke paras terendah dalam tempoh lima bulan pada Februari, diramalkan mencecah paras sekitar RM3 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun.

Dalam minggu ini, ringgit berada dalam arah aliran menyusut berbanding dolar AS, tetapi dalam arah aliran meningkat berbanding mata wang utama kecuali euro.

Dalam minggu ini, euro mengukuh apabila agensi penarafan antarabangsa menaikkan penarafan kredit Portugal kepada 'stabil' daripada 'negatif'.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 3.1045/1065 daripada 3.0950/0980.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.4924/4942 daripada 2.5010/5042 dan lebih tinggi berbanding yen pada 3.2508/2546 daripada 3.3402/3491.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 4.6568/6604 daripada 4.6951/7009 tetapi turun berbanding euro kepada 4.0632/0664 daripada 4.0470/0519.-- BERNAMA

Tiada ulasan: