Isnin, 18 Mac 2013

Malaysia Harini mohon maaf kepada YDP PAS Jeli

Salmah Mat Husain,


KOTA BHARU: Selain memohon maaf, akhbar Malaysia Harini perlu membayar sejumlah ganti rugi kepada Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohammad berhubung kes saman fitnah.

Mahkamah Tinggi di sini juga memutuskan defenden perlu membayar ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif kepada plaintif.

Kes itu yang sepatutnya dibicarakan hari ini, bagaimanapun diselesaikan secara rundingan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Defendan yang disaman iaitu wartawan Rudysham Abdul Raof, Razali Yahya (Ketua Pengarang Eksekutif), Izwan Mat Yasir (Eksekutif Pemasaran), Jurnal Agrotani (penerbit) dan Percetakan Kembara Sdn Bhd.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, defendan juga bersetuju membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Apandi dan diiklankan dalam akhbar Sinar Harian tempoh tujuh hari tarikh perintah dibuat.

“Akhbar Malaysia Harini juga perlu menyiarkan di muka utama akhbar berkenaan permohon maaf itu dan di mana-mana bahagian lain akhbar terbabit selama enam hari.

“Defendan juga bersetuju membayar sejumlah gantirugi kepada Apandi sebagai gantirugi penyelesaian dan kos,” katanya di sini. Kelima-lima defendan diwakili peguam Bhag Singh.

Akhbar Malaysia Harini bertarikh 21 Mei 2012 sehingga 3 Jun 2012 menyiarkan berita bertajuk ‘PAS Kelantan sangat buas jual tanah’ dan ‘Nik Aziz hanya bela pemimpin bukan rakyat’.

Dalam berita yang ditulis akhbar itu mendakwa “Terbaru hasil siasatan dan maklumat dalaman mendapati Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad ‘dihadiahkan’ tanah seluas 392 ekar di Mukim Kuala Pahi, Kuala Krai."

Tulisan itu juga mendakwa tanah yang rakyat usahakan sejak berpuluh tahun dirampas kerajaan PAS Kelantan kononnya bagi membangunkan ladang tetapi pemimpinnya rakus bagi dijadikan harta peribadi.

Tiada ulasan: